Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kempen Derma Darah Bantu Mereka Yang Memerlukan

Kempen Derma Darah bantu mereka yang memerlukan 1.PNG

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

KUALA BELAIT, Isnin, 2 Ogos. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan dengan kerjasama Unit Tabung Simpanan Darah menganjurkan Kempen Derma Darah bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-75 bagi Daerah Belait, di perpustakaan berkenaan, hari ini.

Kempen Derma Darah tersebut bertujuan untuk sama-sama membantu dalam mengumpul seberapa banyak darah daripada penderma untuk keperluan orang-orang yang memerlukan.

Pemangku Penolong Pegawai Perpustakaan, Dayang Zaiton Haji Mohd. Napi, ketika ditemui berkata, kempen berkenaan diadakan di perpustakaan untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebuah pusat komuniti yang bermanfaat untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.

"Perpustakaan adalah sebuah tempat yang sesuai untuk mengadakan pelbagai aktiviti atau kegiatan bagi semua peringkat umur," tambah beliau.

Selain itu, DBP juga mempromosi dan menawarkan Bilik Aktiviti Umum, Bilik Aktiviti Kanak-kanak dan di ruang lantai atas untuk aktiviti acara keraian, majlis pertunangan, majlis nikah atau kahwin dan sebarang kegiatan secara percuma mengikut terma dan syarat.

Pelita Brunei menemu bual salah seorang penderma darah, Awang Bakhari bin Haji Jalut, 57 tahun, yang sudah lebih daripada 20 kali menderma darah dan mempunyai darah jenis AB.

Beliau yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta, PTAS Aker, sebagai 'Store Keeper', berhasrat untuk meneruskan menderma darah selagi kesihatan mengizinkan.

Sementara itu Dayang Sadiah binti Salleh, 33 tahun, yang mempunyai darah jenis A+ pula, menjelaskan, Kempen Derma Darah kali ini merupakan kali keempat beliau menderma, di mana dengan menderma darah mampu menyelamatkan nyawa seseorang.

Seorang individu itu boleh menderma sehingga 0.5 liter darah pada satu-satu masa, di mana derma darah terakhir juga adalah sekurang-kurangnya 90 hari sehingga awda boleh menderma lagi. Menderma darah mengurangkan risiko sakit jantung, malah boleh membantu menyeimbangkan zat besi di dalam badan penderma.

Menderma darah juga merupakan amal kebajikan, bukan sahaja daripada harta benda, malah ia dapat membantu menyelamatkan nyawa seseorang.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 8/4/2021 10:40 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 8/4/2021 10:40 AM by Nisbah Binti Hj Merusin