Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Serlahkan Kreativiti Penulisan Cerpen, Kritikan Sastera

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman, Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Infografik : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 November. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kini membukakan peluang kepada orang ramai untuk menyerlah bakat melalui penulisan cerpen atau kritikan sastera melalui peraduan yang dianjurkan oleh DBP.

Sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021, DBP mengalu-alukan orang ramai bagi menyertai Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Bahana DBP 2021 - 2022 yang terbuka kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam berumur 18 tahun ke atas.

Peraduan tersebut merupakan kegiatan tahunan anjuran DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah, di mana ia dibahagikan kepada dua kategori, iaitu cerpen, genre penulisan kreatif hasil gabungan estetika dengan persoalan yang dikemukakan oleh para penulis; dan kritikan sastera, genre non-kreatif yang mendefinisi, menyoroti, menilai, membincangkan dan menghurai sesebuah karya kreatif.

Antara objektif peraduan ialah bagi mendaulat, memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ke arah mendukung visi dan misi DBP; menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat serta mempromosi majalah Bahana kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Dalam masa yang sama, ia memberi ruang dan peluang kepada penulis dalam dunia kreatif dan intelektual, memperkaya khazanah sastera tanah air serta melahirkan karya kreatif dan non-kreatif.

Pemenang pertama, kedua dan ketiga peraduan akan membawa pulang hadiah wang tunai berserta sijil penghargaan. Tarikh tutup penyertaan peraduan adalah pada Khamis, 31 Mac 2022, jam 4.00 petang dan borang penyertaan boleh dimuat turun melalui Kod QR yang disediakan.

Untuk mengetahui lebih lanjut syarat peraduan dan borang peraduan, sila imbas Kod QR yang tertera.

Bagi sebarang pertanyaan, hubungi pihak Urus Setia Peraduan melalui talian +673 2382511 sambungan 138 / 145 / 224 atau melalui e-mel ke alamat ‘editor.bahana@dbp.gov.bn’ atau ‘editor_bahana@brunet.bn’.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/7/2021 1:05 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/7/2021 1:05 PM by Nisbah Binti Hj Merusin