Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan  Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam BA1210

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

 

 

 

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam

Tekad Pemendulian Orang Ramai (TPOR)

Dasar Belia Negara

Dasar Sukan Negara

Dasar Kebudayaan Negara

Penerbitan

 

    

Tema Hari Kebangsaan Tahun 2006

“MEMPERTINGKATKAN DAYA SAING BANGSA”

 

Huraian Tema

Tema Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-20, "Patriotisme Teras Keteguhan Negara", ditunjangi oleh kata "patriotisme" iaitu semangat cintakan tanah air yang rela berkorban apa sahaja demi survival bangsa dan negara.  Sebagai "teras keteguhan negara",  patriotisme atau  semangat cintakan tanah air perlu dipantuni kesuburannya agar sesinambungannya terus relevan serta berfungsi sepanjang zaman dalam kehidupan berbangsa dan bernegara. Beberapa upaya dapat diungkayahkan bagi menyuburkan hayat pertumbuhan patriotisme, misalnya menyerapkan unsur-unsur dinamik murni yang terjelma dalam budaya bangsa.  Salah satu unsur dinamik itu ialah sifat "mandiri" iaitu sifat tidak suka bergantung kepada orang lain; semangat untuk berusaha sendiri, bekarih sendiri tanpa minta tongkat daripada orang lain atau sentiasa mengharapkan pelbagai "keistimewaan" semasa menempuh persaingan dalam kehidupan. 

Wacana (kesatuan fikiran yang utuh) yang perlu mendasari tema Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-21 Tahun 2005 mestilah ada kesinambungannya dengan wacana tema "Patriotisme Teras Keteguhan Negara".  Semangat patriotik perlu terus diperkasa, disuburkan agar lebih perkasa, dominan dalam kencah kehidupan warga bangsa. Untuk itu semangat "mandiri" hendaklah disuntik ke dalam "patriotisme" yang dijadikan teras keteguhan negara itu.  Oleh yang demikian, kata "mandiri" hendaklah dijadikan wacana utama dalam tema Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-21 Tahun 2005 agar terdapat kesinambungan dengan wacana "patriotisme" pada tema Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-20 Tahun 2004. 

Tema "Bersepadu Memperkasa Mandiri Bangsa" didasari oleh kata "mandiri" yang perlu dikukuhkan atau diperkasa ke suatu tahap kesatuan dalam esprit de corps bangsa.  Upaya itu harus dilakukan secara bersepadu : di semua peringkat kehidupan dan khusus dalam bidang pendidikan di institusi-institusi pendidikan.  Para belia perlu dibiasakan dengan sikap serta semangat mandiri agar mereka dapat merasakan "nikmat" hasil titik peluh membanting tulang sendiri di ladang-ladang, di sawah padi, melawan badai dan pukulan ombak di samudera. Dengan berbekalkan semangat mandiri, mereka berupaya menguasai ICT dan tidak terus-menerus bertongkat kepada konsultan- konsultan asing.  Adalah tidak cukup dengan cuma memiliki patriotisme yang membuak-buak; dengan gandingan semangat mandiri, semangat patriotik akan lebih bermakna, lebih kental, tahan tukul dalam persaingan kehidupan.  Natijahnya, upaya memperkasa semangat mandiri secara bersepadu akan melahirkan bangsa mandiri yang tahan diuji zaman. 

 

 

< Kembali >