Tema
Hari
Kebangsaan Tahun 2008
"TUNAS BANGSA"
Huraian Tema
-
Menurut tafsiran kamus, kata ‘tunas’ bermakna
“tumbuhan muda yang baru timbul (dari tunggul, ketiak daun, buku
batang kayu yang terbang, dan sebagainya); bakal cabang (dahan,
ranting baru tumbuh); taruk”.
(i)
Manakala ‘bangsa’ diertikan (a) Kesatuan orang
atau kumpulan manusia yang bersamaan asal keturunan, adat,
bahasa, dan sejarahnya; (b) Kumpulan manusia yang menjadi rakyat
sesebuah negara dalam satu ikatan ketatanegaraan dan
berpemerintahan sendiri; (c) Istilah Antropologi: Kumpulan
manusia yang biasanya terikat kerana kesatuan bahasa dan
kebudayaan dalam erti umum dan yang biasanya menempati wilayah
tertentu di muka bumi.
(ii)
-
“Tunas Bangsa” dalam konteks sebagai tema
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan tahun ini bukanlah menurut
takrif harfiah (literal) tetapi merujuk kepada dua perlambangan
(simbolisme) (iii)
seperti berikut:
(a)
Mana-mana upaya manusia dalam lengkungan masyarakatnya, melalui
keringat, tenaga, dan pemikirannya, bermula dari yang
sekecil-kecilnya (baru tumbuh) sehinggalah upaya itu berkembang
tegak membesar (akar batang, dahan, ranting dan sebagainya) yang
dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa.
(b)
‘Tunas’ juga ditakrifkan sebagai singkatan dua perkataan iaitu ‘tunak’(iv)
dan ‘nasional’ yang secara perlambangan bermaksud “taat setia kepada
bangsa”.
-
Ungkapan tema “Tunas Bangsa” yang ditakrifkan
sebagai perlambangan segala upaya dalam kehidupan manusia yang
tumpah setianya kepada bangsa seperti takrifan pada 2(a) dan
(b), akan bertambah kukuh jika dilandaskan kepada dua asas
berbangsa dan bernegara seperti berikut:
(a)
“Tanah Yang Subur”
Perlambangan bagi mereka “Merdeka, Berdaulat dan Demokratik
bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli Sunnah
Waljamaah”. (v)
(b)
“Benih Yang Baik”
Perlambangan bagi “Negara Melayu Islam Beraja’.
(iv)
Jadinya,
“Tunas Bangsa” daripada “Benih Yang Subur” yang tumbuh di atas
“Tanah Yang Baik” pada ghalibnya adalah “tunas” yang tumbuh segar
yang menghijau, membesar menghasilkan buah ranum untuk santapan bagi
pertumbuhan satu bangsa dan negara yang tenteram, makmur, hidup
berbaik-baik di kalangan masyarakat antarabangsa, dan “saling
menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan
wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur tangan dari luar
negeri”.(vii)
-
Pertumbuhan “Tunas Bangsa” seperti inilah yang
cuba dititiberatkan dalam Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan
ke-24 Tahun 208 dengan menerapkan pelbagai saranan “tools” yang
terdapat pada tema-tema sambutan yang lalu seperti “menghayati”
(1985), “membangun” (1987), “mengekalkan” (1991),” “menanai”
(1992) “meneguhkan” (1993), “membina” (1998), “mengukuhkan’
(1990, “mempertingkatkan” (1989, 2006), dan “memperkasa” (2002,
2007) agar pertumbuhannya itu selaras dengan aspirasi “nation
building”, bukannya “tumbuh lalang” atau “tercantas sebelum
berputik”. Demikianlah dalam usia lebih dua dekad menikmati
satus negara merdeka lagi berdaulat, antara lain, Kebawah Duli
Yang maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan
negara Brunei Darussalam bertitah:
"Dalam
usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk
memahami cabaran-cabaran kehidupan. Di antara cabaran paling
mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di
samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan.”
(viii)
-
Kematangan mengakui kelemahan-kelemahan dalam
menghadapi cabaran-cabaran pertumbuhan “Tunas Bangsa” memerlukan
munasabah diri di samping pro-aktif membuat pembaikan-pembaikan.
Kegiatan-kegiatan yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya cekal
dalam “tunas Bangsa” akan mendapat menjamin kesinambungan negara ini
sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dengan warga
bangsa yang taat setia kepada negara di tengah-tengah dunia yang
semakin kompetitif.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(i) Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 2916
(ii) Ibid, ms 224
(iii) Penggunaan simbol untuk melahirkan ( mengungkapkan,
menyampaikan dan sebagainya sesuatu konsep, gagasan, pendapat,
dan sebgainya (dalam seni, sestera, dan sebagainya) – Kamus
Bahasa Melayu Nusantara, 2003, ms 2541.
(iv) Kata ‘tunak’:
(1) tidak berhenti-henti melakukan sesuatu (kerja dan sebgainya);
(2) tetap setia; patuh; taat - Kamus Bahasa Melayu Nusantara,
2003, ms 2915.
(v), (vi) dan (vii) “Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam”
yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam pada
1 Januari 1984.
(viii) Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan
Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
DiPertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun
Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-23 Tahun 2007 pada
23 Februari 2007.