Diari KKBS Sejarah Ringkas Visi & Misi Carta Organisasi Bahagian-Bahagian Jabatan-Jabatan

 

 

Terbaru

 

 

 

 

 

 

 

 

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

 

 

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI

HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-5

HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

PADA 23 FEBRUARI 1989

 

 

 

Bismillahir rahmannir rahim

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, Seru Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ke atas keluarga, kaum kerabat Baginda, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

 

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah rahrnat-Nya jua, maka rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam telah dapat rnenikmati suasana aman, tenteram, kemakmuran dan juga pencapaian kemajuan di pelbagai bidang. Kesemuanya ini adalah dicapai dengan sokongan dan kepercayaan yang kukuh yang diberikan oleh rakyat dan penduduk negara ini kepada kerajaan, dan juga dengan terdapatnya kerjasama dan semangat yang gigih di kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan pihak-pihak swasta, bagi mengekalkan dan mendaulatkan kemerdekaan negara yang dicapai sejak lima tahun lalu.

 

Bersempena hari yang bersukut baik lagi penuh bersejarah ini, beta sukacita rnerakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan dan anggota-anggota Pasukan Keselamatan, kerana telah sama-sama berusaha dan berganding bahu dalam memelihara dan menjamin keselamatan dan ketenteraman negara dan juga bagi pencapaian yang meningkat di dalam pembangunan negara yang sama-sama kita cintai ini.

 

Beta penuh yakin, dengan adanya kesedaran di kalangan setiap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini untuk sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam dan membawanya menuju ke arah kemajuan yang dihasratkan, insya-Allah, kita akan dapat mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara, dan menjadikannya sebagai sebuah negara yang berkembang maju dan makmur.

 

Sebagaimana yang sering beta nyatakan bahawa kerajaan adalah sentiasa mengambil berat di atas kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk juga perkara-perkara yang berhubung dengan kemajuan ekonomi dan sosial. Bagi menuju ke matlamat ini, berbagai-bagai rancangan pembangunan, ekonomi dan sosial sedang diusahakan oleh kerajaan.

 

Sebahagian daripada rancangan-rancangan yang dijalankan itu tidak dapat dilihat hasil dan kemanfaatannya bagi jangka masa pendek, tetapi akan hanya mendatangkan kemanfaatan kepada rakyat dan penduduk di negara ini dalam jangka waktu yang panjang. Rancangan-rancangan yang beta maksudkan itu ialah yang berhubung dengan pembangunan infra-struktur, iaitu seperti pembinaan jalan-jalan raya, bangunan-bangunan sekolah, universiti dan pusat-pusat latihan.

 

Di samping itu, kejayaan rancangan-rancangan yang diusahakan itu juga hanya akan dapat dinikmati dengan adanya perasaan kesedaran di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini untuk memanfaatkan projek-projek tersebut, dengan memberikan sokongan dalam menjayakan pelaksanaannya dan memberikan kerjasama kepada kerajaan ke atas pemeliharaan projek-projek tersebut.

 

Penubuhan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama baru-baru ini, adalah juga merupakan sebagai salah satu langkah dalam usaha kerajaan untuk mempastikan kemakmuran rakyat dan penduduk di negara ini dan juga bagi generasi yang akan datang. Penubuhan kementerian yang baru itu adalah dihasratkan untuk mempercepatkan usaha mempelbagaikan ekonomi negara daripada semata-mata bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi, yakni minyak dan gas.

 

Bagi mempercepatkan proses perindustrian dan memajukan sumber-sumber utama yang terdapat di negara ini, adalah amat perlu bagi pihak kerajaan untuk mengkaji semula dan mengemaskinikan setiap undang-undang dan peraturan-peraturan yang berhubung dengan perindustrian dan pelaburan di negara ini.

 

Adalah mustahak supaya peraturan-peraturan, kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama itu dapat menyaingi dengan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang didapati di rantau ini. Dengan cara demikian, bukan saja ianya dapat mempercepatkan proses penubuhan perindustrian yang hendak dilaksanakan itu, tetapi juga bagi menggalakkan pelabur-pelabur asing untuk masuk dan melabur di negara ini.

 

Oleh yang demikian, Kementerian-kementerian dan juga Jabatan-jabatan Kerajaan yang lain hendaklah memberikan kerjasama di dalam menyelaraskan peraturan dan undang-undang yang beta maksudkan itu. Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah memainkan peranan yang positif di dalam memajukan bidang perindustrian dan sumber-sumber utama di negara ini. Mereka mestilah sentiasa berusaha untuk menerokai bidang-bidang perusahaan yang baru yang mana difikirkan boleh diketengahkan dan dapat bersaing dengan barangan yang dihasilkan oleh negara-negara lain di pasaran luar negeri.

 

Sehubungan dengan ini, kerajaan juga adalah mengalu-alukan bagi pelabur-pelabur asing untuk melabur di Negara Brunei Darussalam, iaitu dengan cara mengadakan usaha sama di bidang perusahaan, pertanian dan perikanan. Kehadiran mereka juga adalah dialu-alukan kerana Negara Brunei Darussalam memerlukan kepakaran teknikal dan pengurusan mereka.

 

Akan tetapi, adalah juga diingatkan kepada pelabur-pelabur asing iaitu bagi mendatangkan kemanfaatan kepada kedua pihak, mereka mestilah memahami akan aspirasi dan matlamat ekonomi kerajaan.

 

Menyentuh mengenai dengan lawatan-Iawatan yang telah beta lakukan ke mukim-mukin dan kampung-kampung, beta telah mendengar masalah bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan penduduk di negara ini dalam perkara membayar cukai waris. Sehubungan dengan ini, satu pengkajian telah dibuat oleh kerajaan bagi mengatasi masalah-masalah pada meringankan bebanan yang dihadapi oleh waris orang-orang yang telah meninggal dunia.

 

Hasil daripada kajian yang telah dibuat, maka beta sukacita mengumumkan bahawa mulai dari 15 haribulan Disember 1988 yang baru lalu, kadar-kadar cukai waris yang dikenakan ke atas harta pusaka orang-orang yang telah meninggal dunia adalah dikurangkan. Bagi harta pusaka yang bernilai dua juta ringgit dan kurang daripada jumlah itu, tidak dikenakan apa-apa cukai waris.

 

Pada mengira jumlah yang akan dikenakan cukai waris, rumah kediaman dan rumah-rumah kediaman yang dipunyai oleh orang yang telah meninggal dunia yang bernilai sehingga dua juta ringgit dan kurang daripada jumlah itu, tidak dikenakan cukai waris.

 

Bagi harta pusaka yang bernilai lebih daripada dua juta ringgit, maka kadar cukai waris secara pukul rata sebanyak tiga peratus akan dikenakan, berbanding dengan kadar sebelumnya.

 

Butir-butir mengenai dengan peraturan yang baru ke atas cukai waris ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam sedikit waktu lagi.

 

Di bidang antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah dapat mengukuhkan hubungan-hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat, terutama sekali dalam usaha untuk mewujudkan usaha-usaha yang mendatangkan manfaat kepada Negara Brunei Darussalam dan negara-negara sahabat.

 

Dalam usaha untuk mewujudkan suasana politik serantau yang mantap lagi stabil, Negara Brunei Darussalam juga telah memainkan peranan yang positif ke arah matlamat tersebut. Ini dapat dilihat melalui keupayaan Negara Brunei Darussalam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap ASEAN dengan kerjasama negara-negara ASEAN yang lain, telah berhasil meningkatkan jumlah undi ke atas resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai masalah Kampuchea.

 

Menyentuh tema perayaan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang berbunyi: “BERDIKARI MENINGKATKAN KEMAKMURAN NEGARA”, beta ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan pentingnya mereka berusaha untuk berdikari di dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, iaitu dengan menjalankan berbagai-bagai usaha di bidang perindustrian, pertanian dan perikanan.

 

Dengan meningkatkan semangat berdikari di kalangan rakyat dan penduduk, ianya akan dapat mengurangkan pergantungan untuk mendapatkan pekerjaan dengan kerajaan. Menuju ke arah berdikari ini, kerajaan akan sentiasa memberikan galakkan dan dorongan kepada mereka yang benar-benar berusaha , sebagai contoh, ialah melalui penswastaan beberapa projek pertanian sebagai langkah permulaan. Berbagai-bagai projek juga sedang diteliti dan dikenalpasti oleh kerajaan bagi kemungkinan untuk diswastakan.

 

Oleh yang demikian, adalah diharapkan pihak swasta di negara ini akan tampil ke hadapan bagi menjayakan usaha-usaha kerajaan, dan di samping itu, mereka mestilah mengusahakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi setiap rancangan yang diberikan kepada mereka itu. Kerana dengan cara ini ianya akan dapat menggandingi dan menimbal usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

 

Setiap rakyat dan penduduk di negara ini mestilah mengamalkan sifat berdikari, dan khususnya kepada generasi muda, sifat tersebut hendaklah disemai dalam diri mereka sejak awal-awal lagi. Kerana dengan wujudnya semangat berdikari di dalam diri rakyat dan penduduk di negara ini, maka ianya akan dapat mengukuhkan ketahanan bangsa dan mendorong mereka untuk terus berusaha bagi mewujudkan satu masyarakat dan bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

 

lanya juga akan dapat menumbuhkan perasaan tabah dan semangat yang gigih dalam menghadapi sebarang ancaman tanpa tunduk kepada kehendak-kehendak mereka yang cuba menggugat kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara yang sama-sama kita cintai ini.

 

Walau bagaimanapun, beta ingin menjelaskan kepada rakyat dan penduduk di negara ini bahawa berdikari yang dimaksudkan itu ialah berdikari dengan cara mengikut lunas-lunas peraturan dan undang-undang negara yang telah sedia ada dan berkuatkuasa. Kerana dengan cara demikian, setiap usaha berdikari akan dapat dilakukan dengan lebih teratur dan mendatangkan hasil yang berkesan. Berdikari yang dimaksudkan itu juga mestilah mengikut landasan adat resam dan tata-susila kebruneian yang kita amalkan, iaitu bukan dengan cara mengenepikan nilai-nilai hidup yang telah kita warisi sejak turun-temurun.

 

Kerana adalah amat penting, dalam usaha kita untuk hidup berdikari itu, kita mesti menjaga dan mengekalkan identiti bangsa, jangan sampai ianya hilang dan luput, dan seterusnya menjadikan kita di negara ini sebagai masyarakat tanpa haluan dan pegangan.

 

Buat mengakhiri ucapan beta ini, beta sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk semua peringkat kakitangan kerajaan dan juga anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei, yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan beta dengan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka penuh dedikasi, licin, amanah serta jujur dan juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, dan juga kepada rakyat dan penduduk yang telah melibatkan diri dan menyumbangkan tenaga pada menjayakan perayaan ini.

 

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah subhanahu Wataala semoga akan terus melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya, dan memberikan kepada kita segala kekuatan untuk terus membangun negara yang kita cintai ini, dan akan sentiasa memberikan kemakmuran dan keamanan serta menghindari daripada apa jua ancaman dan malapetaka kepada negara, rakyat, penduduk dan sekalian isi di dalamnya.

 

Sekian. Wabillahit Taufiq Wal-Hidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.