Diari KKBS Sejarah Ringkas Visi & Misi Carta Organisasi Bahagian-Bahagian Jabatan-Jabatan

 

 

Terbaru

 

 

 

 

 

 

 

 

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

 

 

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI

HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-12

HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

PADA 23 FEBRUARI 1996

 

 

 

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Was-Salatu ‘Ala Asyrafil Mursalin Sayyidina Muhammadin wa ‘Ala ‘Aalihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.

 

Alhamdulillah, kita wajib bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita semua untuk menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita yang ke-l2 dalam keadaan negara terus aman dan tenteram, istimewa pula kita masih berada dalam suasana gembira menyambut Hari Raya Aidilfitri.

 

Kita bersyukur kerana Allah Subahanahu wa Ta ‘ala telah mengurniakan nikmat kesejahteraan dan keamanan di bumi darussalam ini, berkat dari ketekunan para pemimpin kita turun-temurun pada menegakkan agama Allah dan pada memberi perhatian ke atas kebajikan rakyat dan penduduk.

 

Kita perhatikan negara-negara sejagat, baik yang maju, mahu pun yang membangun, masing-masing inginkan ketenteraman dan kemakmuran untuk rakyatnya. Akan tetapi untuk mencapai dan mengekalkan keadaan sejahtera dan makmur itu bukanlah sesuatu yang mudah bagi kebanyakan negara.

 

Setiap negara yang merdeka akan sentiasa melakukan berbagai usaha untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu terutama sekali dari segi pembangunan nasional dan peningkatan taraf hidup rakyat atas landasan-landasan yang ditentukannya sendiri.

 

Perbuatan meniru-niru sistem yang terdapat di negara-negara lain boleh sahaja menyebabkan berbagai masalah timbul dan ketidakstabilan berlarutan dalam jangka panjang.

 

Keadaan sedemikian sering sahaja berlaku bukan sahaja di kalangan negara yang baru merdeka bahkan juga di kalangan negara-negara yang telah lama mencapai kemerdekaan. Ianya disebabkan oleh sistem pemerintahan yang tidak menentu.

 

Alhamdulillah, keadaan sedemikian itu dapat kita elakkan sejak dari awal-awal lagi disebabkan sudah terwujudnya sistem pemerintahan Brunei yang unik dan terbukti kesejahteraan yang berterusan kepada rakyat jelata.

 

Namun demikian kita janganlah sekali-kali lalai dan leka dalam menanai segala usaha kita untuk pembangunan dan kemajuan negara ini di samping sentiasa waspada terhadap berbagai pengaruh dan ancaman yang berbagai ragam dan bentuknya.

 

Dalam keadaan dunia yang sentiasa dinamik dan berubah dengan cepatnya, amatlah perlu setiap orang berusaha meningkatkan daya usaha dan mutu kerja masing-masing.

 

Kemerdekaan yang dicapai akan menjadi kosong dan tidak bermakna sekiranya kerajaan dan rakyat tidak bersungguh-sungguh mengambil daya usaha untuk meningkatkan kemajuan dan kemakmuran yang ada.

 

Tanpa memberikan perhatian yang secukupnya kepada bidang-bidang yang menjadi tumpuan dan keutamaan negara-negara dunia hari ini seperti perdagangan global, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, tahap teknologi ying tinggi dan sebagainya, sesebuah negara itu akan mengalami kemunduran atau sekurang-kurangnya semakin lama semakin ketinggalan oleh negara-negara yang lain.

 

Kita berasa beruntung kerana menjadi ahli keluarga ASEAN dan berada di tengah-tengah rantau yang sangat dinamik di mana negara-negara anggotanya mempunyai dasar kerjasama dan persefahaman serta semangat setiakawan dan saling mendukung.

 

Ini terbukti dengan tertubuhnya berbagai usaha dan projek yang dikendalikan untuk kebaikan bersama, di samping dapat memberikan suara bersama dalam menghadapi isu-isu serantau dan antarabangsa misalnya dalam forum-forum tertentu seperti APEC, Asia-Eropah dan sebagainya.

 

Kebaikan yang dapat diperolehi bukan setakat pada peringkat kerajaan dan peringkat rasmi sahaja malah juga pada peringkat para peniaga, pihak pelabur dan pihak bukan kerajaan yang lain.

 

Oleh itu istimewa di kalangan para usahawan kita, mereka kenalah sentiasa mengenali dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada termasuk pada peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Beta berharap agar para peniaga kita janganlah melepaskan peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya segala usaha dan bidang kerjasama yang dijalankan itu termasuk BIMP-EAGA dan projek-projek bersama rakan-rakan dialog ASEAN.

 

Beralih kepada keadaan dalam negara, Beta gembira atas segala usaha yang telah dan sedang dijalankan pada memastikan pencapaian pembangunan yang berterusan dan berkekalan.

 

Dalam pada itu kita hendaklah juga waspada dan sentiasa memberikan perhatian dan penekanan dan sewajarnya kepada aspek-aspek kerohanian.

 

Ini adalah untuk menghindarkan kita daripada kehilangan nilai-nilai tradisi yang boleh membawa kita kepada berbagai penyakit sosial dan keruntuhan moral serta hilangnya kerukunan dan perpaduan masyarakat.

 

Jika keadaan sedemikian itu dibiarkan berlaku, kualiti hidup ahli-ahli masyarakat akan merosot dan menjadi rendah walaupun pada zahirnya mereka maju dari segi pembangunan infrastruktur.

 

Kita juga sering menekankan mengenai peranan generasi muda dalam pembangunan negara.

 

Sememangnya nasib bangsa dan negara itu banyak tergantung kepada generasi muda kerana merekalah yang bakal menerajui kepimpinan negara.

 

Amatlah perlu bagi nilai-nilai tradisi ditanamkan ke dalam jiwa mereka pada awal-awal lagi sebagai bekal menghadapi cabaran-cabaran masa akan datang.

 

Janganlah hendaknya unsur-unsur negatif terkandung dalam budaya asing menjadi ikutan dan pegangan kaum belia kita. Janganlah pengaruh-pengaruh budaya yang negatif dibiarkan menghakiskan nilai-nilai luhur masyarakat kita selaku orang Timur.

 

Dengan menjelangnya abad ke- 21, manusia semakin hari semakin bergantung kepada kemajuan teknologi.

 

Teknologi yang terkini sememangnya dihajati oleh banyak negara dalam usaha mereka untuk mencapai kemajuan.

 

Namun demikian bagi sebuah negara yang membangun, perseimbangan antara nilai-nilai luhur dan kemajuan teknologi itu perlulah diwujudkan.

 

Kita sering mendengar pengalaman negara lain yang telah maju tetapi akhirnya dikejutkan oleh kejadian yang di luar jangkaan seperti pembunuhan beramai­ramai disebabkan kepercayaan yang sesat atau akibat perbuatan kumpulan-kumpulan yang menyeleweng.

 

Ini disebabkan kekosongan yang terjadi pada jiwa dan diri sebahagian manusia sehingga dalam usaha untuk mengisi kekosongan itu, mereka mudah tertarik dan terperangkap oleh berbagai ajaran sesat atau fahaman yang menyeleweng dan merbahaya.

 

Kita perlulah sentiasa menghindari keadaan sedemikian itu dan Alhamdulillah, selama ini kita telah dapat menghindarkannya dengan berpegang teguh kepada Islam menurut aliran Ahli Sunnah wal-Jema’ah.

 

Demikian dalam kita melalui liku-liku kehidupan masa depan yang penuh dengan berbagai persoalan itu, kita akan menempuh berbagai cabaran dan ujian.

 

Insya-Allah berkat perpaduan yang kukuh dan erat di antara kerajaan dan rakyat sepertimana yang telah dapat mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara kita selama ini, kita yakin akan masa hadapan yang lebih cemerlang dan terjamin dengan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu wa Ta ‘ala.

 

Akhirnya, beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli­ahli jawatankuasa tertinggi serta segenap peserta dalam semua acara yang dikendalikan.

 

Semoga Allah memberkati sumbangan yang ikhlas semua pihak yang menjayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

 

Kepada seluruh rakyat dan penduduk termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan dan angkatan bersenjata serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta mengucapkan Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Kebangsaan.

 

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah, was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.