Diari KKBS Sejarah Ringkas Visi & Misi Carta Organisasi Bahagian-Bahagian Jabatan-Jabatan

 

 

Terbaru

 

 

 

 

 

 

 

 

SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 

 

 

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI

HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-15

HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

PADA 23 FEBRUARI 1999

 

 

 

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.

 

Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barkatuh.

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Was-Salatu was-Salamu ‘Ala Asyrafil Mursalin Sayidina Muhammadin wa ‘Ala ‘Alaihi wa Sahbihi Ajma’in. Wa Ba’du.

 

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu wa Ta’ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat manyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke-15.

 

Sebagai sebuah negara yang telah mencapai semula tarafnya selaku negara yang penuh merdeka lagi berdaulat, kita ingin mengimbas kembali kemajuan dan pembangunan yang telah kita usahakan setakat ini.

 

Di antara berbagai projek kemajuan itu, dapat dilihat melalui perubahan-­perubahan infrastruktur dan ‘landscape’ di sekitar kita, baik ia di bandar mahupun di luar bandar.

 

Namun begitu, Kerajaan Beta tidaklah hanya berpada setakat mengadakan kemudahan-kemudahan semata-mata, tetapi di samping itu juga akan memastikan bahawa semuanya adalah diurus dengan betul sehingga menepati kehendak-kehendak pemodenan dan profesionalisme. Dalam makna di samping kuantiti, juga ialah kualiti.

 

Kita juga terus peringkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan penduduk, melalui bidang-bidang pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan.

 

Apa yang kita pentingkan dalam membudayakan semua bidang ini ialah keseimbangan kemajuan fizikal dan kekuatan rohani. Kedua-duanya kita suburkan sehingga berakar umbi.

 

Sukacita Beta tegaskan, bahawa inilah sebenarnya cara kita, sehingga negara yang semakin maju ini akan tetap tunduk kepada hukum-hukum Allah dan menyanjung ajaran-ajaran-Nya.

 

Seterusnya, kerana kita adalah bangsa yang merdeka, maka kita juga telah melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab antarabangsa.

 

Kita telah menjadi anggota kepada berbagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, OIC, Komenwel dan NAM.

 

Dalam kerjasama ekonomi rantau Asia dan Pasifik, kita adalah sebahagian dari negara-negara APEC.

 

Sesungguhnya kita telah menempati kedudukan yang selayaknya di arena antarabangsa.

 

Kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan menyumbang kepada keamanan dunia dan kemantapan sistem antarabangsa.

 

Alhamdulillah, kita telah dapat melaksanakan komitmen kita dengan menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang memerlukannya, iaitu setakat yang kita mampu dan terdaya.

 

Di samping itu kita sendiri juga mendapat manfaat dalam bentuk bantuan taknikal dan pedidikan dari berbagai pertubuhan di luar negara.

 

Apa yang jelas, jangka masa 15 tahun yang telah dilalui itu bukanlah suatu masa yang singkat.

 

Kita perlu menilai, apakah kemajuan dan pembangunan yang telah diperolehi selama ini mampu untuk membawa kita melangkah lebih maju pada masa-masa yang akan datang?

 

Sesungguhnya, pencapaian negara ini adalah banyak bergantung kepada factor-­faktor dalam negeri dan luar negeri.

 

Apa pun keadaan mengenai faktor-faktor ini, yang mustahak ialah, kita patut mengambil pengajaran dan iktibar dari pengalaman selama 15 tahun merdeka itu.

 

Kita jadikan ia guru dalam usaha kita meneroka dan menjalani masa depan yang lebih mencabar.

 

Sebenarnya, dunia kita di akhir tahun-tahun 90-an telahpun memasuki era baru, iaitu era globalisasi dengan segala kesannya yang amat meluas, tidak terbatas dalam ruang politik dan sosial saja, malahan meliputi bidang ekonomi, kewangan dan perdagangan.

 

Kerana itulah, menjelang alaf baru, warga dunia semakin giat menjalin hubungan, sehingga membawa kepada terbentuknya berbagai pertubuhan kerjasama yang menggabung dan mendekatkan lagi negara-negara yang terpisah jauh dari sudut geografi.

Walaupun begitu, persaingan nampaknya tidaklah berhenti bahkan semakin sengit dan meningkat.

 

Pada hemat Beta, adalah sukar untuk kita meramalkan apa yang akan berlaku di tahun 2000 dan tahun-tahun berikutnya.

 

Tetapi apa pun juga keadaan, yang penting ialah persiapan dan kesediaan kita menghadapinya.

 

Adapun persiapan dan kesediaan itu mestilah sentiasa berpandu kepada prinsip-­prinsip asas yang selama ini menjamin kelangsungan atau ‘survival’ kita, iaitu berupa nilai-nilai yang bersumber daripada ugama dan budaya yang luhur sejak zaman-berzaman, di samping juga kekuatan kewangan dan keteguhan ekonomi.

 

Salah satu daripada persiapan itu ialah menitikberatkan pelaburan sumber tenaga manusia, iaitu dengan meningkatkan usaha di bidang pendidikan dan latihan.

 

Hendaklah dipastikan bahawa rakyat sentiasa dipersiapkan, supaya mereka dapat memainkan peranan yang berkesan di masa depan.

 

Di bidang perkhidmatan awam, jentera pentadbiran bukan saja memerlukan tenaga kerja yang cekap, jujur dan amanah, malahan juga yang titih dan lutanan terhadap kepentingan orang ramai.

 

Sebab itulah, generasi di alaf baru perlu terdedah kepada pendidikan yang lebih sempurna dan lebih berwawasan.

 

Bercakap tentang perkara ini, tanggungjawab bersama terutama ibu bapa, adalah sangat-sangat diharapkan. Kerana disiplin tarbiah atau pendidikan itu bermula daripada rumah. Jika rumah dapat dimanfaatkan sebagai wadah, maka insya-Allah, semuanya akan indah dan berhasil baik.

 

Kerjasama yang seerat-eratnya di antara Kerajaan dan rakyat amatlah mustahak. Tanpa kerjasama yang sedemikian itu, program-program kerajaan tidak akan dapat berjalan dengan lancar.

 

Setiap rakyat perlu ada azam untuk negara. Jangan tanya apa negara akan beri kepada kita, tetapi tanyalah bagaimana caranya untuk kita dapat berjasa kepada negara itu?

 

Negara insya-Allah, tidak akan melupakan rakyat. Kemudahan dan bantuan akan sentiasa ada.

 

Namun, janganlah pula perkara ini melemahkan rakyat. Kerana rakyat yang lemah tidak akan dapat meraih kejayaan.

 

Sekarang, negara turut berhadapan dengan kegawatan. Di mana-mana jua, orang sedang berfikir bagaimana mengatasinya.

 

Jadi sehubungan ini, memanglah wajar bagi kita supaya jangan ketinggalan dari mencipta langkah-langkah yang maju dan aktif, seperti meningkatkan peluang-peluang pelaburan dan perdagangan di negara ini. Pendeknya semua cara dan strategi yang berkesan hendaklah digunakan untuk memulihkan ekonomi.

 

Secara khusus Beta ingin mengingatkan supaya apa saja perkara yang berkenaan dengan penjimatan perbelanjaan hendaklah diutamakan oleh semua agensi Kerajaan. Dalam makna, termasuk, apa jua perkara yang melibatkan perbelanjaan besar adalah perlu dinilai semula, sehingga keadaan ekonomi mengizinkan.

 

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian ahli jawatankuasa tertinggi serta para peserta yang terlibat dalam semua acara sambutan yang dikendalikan.

 

Semoga Allah Subahanahu wa Ta ‘ala akan memberkati sumbangan ikhlas segenap pihak yang menjayakan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada kali ini.

 

Beta juga tidak lupa merakamkan penghargaan yang ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk, termasuk semua peringkat dalam perkhidmatan awam Kerajaan, pasuka-pasukan keselamatan serta juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha mereka yang ikhlas di bidang masing-masing.

 

Sekian, wa Billahi Taufiq wal-Hidayah was-Salamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.