Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
BismiIIahir
Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI
Rabbil Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Ala Umuuriddunya
Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammaddin, Wa’aaa Aalihiee Wasahihee Ajma’een,
Waba’du.
Alhamdulillah, beta
bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan
limpah rahmat-Nya juga dapatlah kita menyambut Ulang Tahun
Hari Kebangsaan Ke-21 ini dalam suasana aman dan bahagia.
Sudah lebih 20 tahun
kita menikmati kemerdekaan dan kedaulatan. Dalam tempoh
tersebut, kita telah membangun dan memajukan negara ini
dengan sepenuh hati dan semangat.
Beta merasa amat
bangga dengan usaha-usaha pembangunan oleh rakyat selaku
warga masyarakat antarabangsa yang prihatin.
Mereka telah
mempamerkan cirri-ciri kematangan dalam bernegara yang
ditunjukkan melalui gaya hidup lebih maju dan berdikari.
Sikap bangsa yang
demikian inilah yang diperlakukan oleh sesebuah negara
merdeka. Kerana tanpa sikap maju serta prihatin itu, negara
hanya akan kekal di takuk yang lama atau ia mesti bersedia
untuk menerima celaan.
Usaha-usaha kita
mengisi kemerdekaan adalah dengan mengambil bentuk proses
evolusi. Namun ia tetap cergas dan berterusan. Kerana itu,
apa-apa jua yang kita capai atau perolehi adalah sentiasa
relevan kepada kehendak dan keperluan negara.
Usaha-usaha ini
berjalan serentak melalui pembangunan rohani dan fizikal
secara seimbang. Ia tidak boleh pincang dalam kita menjana
dan membina ummah.
Sebagaimana juga
kita mempersiap dan menyediakan infrastruktur asas untuk
kehidupan seperti perumahan, jalan raya, elektrik, air,
bangunan-bangunan dan seumpamanya, maka begitulah pula
halnya dengan jiwa, semangat dan pemikiran adalah memerlukan
tarbiah langsung oleh negara. Maka untuk itu, bidang
pendidikan dan dakwah adalah memainkan peranan yang utama.
Sebab itulah jentera pendidikan dan dakwah itu tidak boleh
sama sekali lemah.
Pendidikan pada
khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan
mengatasi keperluan agama. Dalam makna, pendidikan agama
juga hendaklah sama-sama diutamakan. Di peringkat asas,
pendidikan agama hendaklah sempurna, sementara di peringkat
tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan
berwibawa. Jangan sama sekali ia kurang atau dikurangkan.
Kerana berdasarkan fakta sejarah di mana-mana sahaja, jika
pendidikan agama lemah, maka akan lemah pulalah bangsa.
Menyentuh mengenai
pembangunan negara yang mantap, ia adalah sangat bergantung
kepada jentera Perkhidmatan Awam yang dapat memenuhi
keperluan dan harapan masyarakat. Lalu untuk itu, kerajaan
beta telah mewujudkan satu Wawasan Perkhidmatan Awam Abad
K-21.
Setiap agensi
kerajaan hendaklah memastikan diri masing-masing dapat
mencapai matlamat wawasan tersebut.
Semua kementerian
dan jabatan kerajaan dikehendaki mengenai pasti isu-isu yang
mempunyai kepentingan nasional bagi dibincang dan seterusnya
diselaraskan bersama-sama.
Demikian juga ikatan
yang kukuh di antara kerajaan dan rakyat serta penduduk
perlulah pula wujud, untuk merealisasikan lagi
kejayaan-kejayaan yang telah dan akan dicapai.
Untuk itu kerajaan
beta adalah sentiasa menyambut baik pandangan-pandangan yang
bernas daripada kalangan rakyat jelata, tentang bagaimana
cara-cara yang munasabah untuk mempertingkatkan lagi mutu
pengendalian kerajaan di bidang-bidang pembangunan dan
pentadbiran.
Dan inilah juga
makanya Majlis Mesyuarat Negara diadakan semula, sebagai
wadah kearah penglibatan rakyat yang lebih formal dalam
menyalur atau mengemukakan buah fikiran dan cita rasa mereka.
Walaupun kita
menumpukan tenaga kepada soal-soal dalaman, namun hal ehwal
serantau dan antarabangsa tetap pula tidak diabaikan.
Semenjak kita
mencapai kemerdekaan, kita juga telah turut memikul
tanggungjawab selaku warga masyarakat antarabangsa yang
berdaulat.
Kita telah sama-sama
menghadapi dan menangani ujian-ujian semasa seperti
krisis-krisis ekonomi, keselamatan, kesihatan dan juga
bencana-bencana alam yang melanda rantau kita ini di dalam
masa satu dekad.
Di sepanjang
detik-detik kerumitan tersebut, kita telah banyak memilih
jalan kita sendiri, dengan berperang kepada posisi sendiri,
dengan berpegang kepada posisi sendiri. Namun begitu, kita
juga sentiasa terbuka untuk menilai dan mendengarkan
pandangan-pandangan daripada negara-negara lain.
Proses berdialog,
berbincang dan bekerjasama tetap menjadi asas kepada dasar
hubungan kita dengan negara-negara lain.
Pada akhirnya,
marilah kita memelihara kemerdekaan negara dan bangsa ini
dengan doa dengan rasa syukur yang mendalam terhadap Allah
Subhanahu Wataala, semoga Dia mengekalkannya serta
melindungi kita daripaa sebarang kehendak dan
rancangan-rancangan jahat musuh untuk memporak-perandakan
ketenteraman dan kemakmuran negara.
Beta mengucapkan
terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan
lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-21
Hari Kebangsaan dan semua peserta dan petugas yang turut
berusaha untuk menjayakan perayaan ini.
Kepada seluruh
rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua
peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan
keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta,
beta juga tidaklah lupa untuk merakamkan penghargaan dan
ucapan terima kasih yang tulus ikhlas.
Sekian Wabillahit
Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.