BERIKUTAN dengan titah pengumuman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Tahun Baru Masihi 2011 mengenai Peraturan Cuti Beranak, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan Surat Keliling Bilangan 1/2011 bertarikh pada 3 Januari 2011 yang ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Mohd. 'Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam. Berikut dimuatkan isi kandungan penuh Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri berhubung Peraturan Cuti Beranak 2011. - PENYUNTING.
PADA menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Peraturan Cuti Beranak 2011 adalah seperti berikut:
2.1 Cuti Beranak diberikan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan perempuan dalam Perkhidmatan Awam yang sah berkahwin di sisi Undang-Undang Negara Brunei Darussalam: - Pegawai dan kakitangan perempuan di dalam Perkhidmatan Tetap, Kontrak, Site-Staff, Sebulan Ke Sebulan, Open-Vote dan Gaji Hari.
3.1 Tempoh keseluruhan Cuti Beranak adalah selama 15 minggu (105 hari) dan hendaklah diambil dua minggu sebelum tarikh dijangka beranak.
4.1 Cuti tersebut disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.
4.2 Cuti Beranak hendaklah dihabiskan di dalam Negara Brunei Darussalam sahaja kecuali:
i. Pegawai yang bertugas di luar Negara Brunei Darussalam.
ii. Pegawai yang terpaksa beranak di luar Negara Brunei Darussalam kerana kerumitan (complications) perbidanan.
iii. Pegawai yang terpaksa mendapatkan rawatan selepas beranak di luar Negara Brunei Darussalam.
5.1 Cuti Beranak tidak akan ditolak dari sebarang baki Cuti Tahunan. Dalam tempoh Cuti Beranak tidak ada kelayakan Cuti Tahunan.
6.1 Cuti Beranak diberikan dengan bergaji penuh bagi perkhidmatan yang melebihi 180 hari, setengah bayaran gaji bagi perkhidmatan 90 hari hingga 180 hari, dan tanpa gaji bagi perkhidmatan kurang daripada 90 hari.
7.1 Di dalam keadaan di mana melibatkan keguguran kurang dari 24 minggu kandungan, pegawai perempuan itu akan diberikan Cuti Sakit.
7.2 Di dalam keadaan di mana melibatkan kematian anak dalam kandungan lebih dari 24 minggu, pegawai itu akan diberikan Cuti Beranak selama lapan minggu sahaja.
8.1 Kebenaran Cuti Sakit dan Cuti Beranak akan disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.
9. Pembatalan
9.1 Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 17/1993 bertarikh 4 September 1993 adalah dengan ini dibatalkan.
10.1 Peraturan ini mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2011.
Sekian sahaja yang dapat dimaklumkan pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.