Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PPNBD CERMINKAN KUALITI KEDAYATAHANAN SEBUAH ORGANISASI

070719-Pengakap-Dato Speech.1jpg.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita dan Foto : Ak. Syi’aruddin Pg. Dauddin - Penerangan


GADONG, Ahad, 7 Julai 2019 - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), di peringkat antarabangsa berjaya menghulurkan sumbangan yang signifikan kepada Badan-Badan antarabangsa antaranya termasuk Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik (Asia-Pacific Regional Scouts Conference), Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN (ASEAN Scout Association For Regional Cooperation) dan Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN pertama (ASEAN Rover Moot) 2018.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucaptamanya pada Seminar Menuju 100 Tahun Berpengakap di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Gadong, di sini.

Pencapaian-pencapaian di dalam dan luar negara tersebut, ujar Yang Berhormat Menteri, menunjukkan PPNBD sememangnya mampu dan hendaklah diteruskan dalam memainkan peranan mustahak dalam pembangunan negara.

"Setentunya, pencapaian 100 tahun tertubuhnya satu organisasi adalah satu pencapaian signifikan yang tersendiri. Utuhnya PPNBD dari segi kemampuannya untuk berdiri megah sebagai satu pergerakan sukarelawan dalam usianya yang ke-86 tahun mencerminkan kualiti kedayatahanan organisasi ini yang masih menyatukan ahli-ahli dan sukarelawan yang merangkumi pelbagai umur untuk menyumbangkan tenaga sehingga sekarang.

Menurut statistik terkini, kita amat berbangga jumlah keahlian telah mencecah lebih 1,300 orang iaitu peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan keahlian seramai 966 orang hanya lima tahun yang lalu," terang Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya berbesar hati atas peningkatan ahli wanita PPNBD yang mana seramai 360 pengakap wanita pada lima tahun yang lalu dan meningkat ke hampir 600 pengakap wanita pada masa ini.

 070719-Pengakap-3.jpg

Di samping itu, skop PPNBD juga telah diperluaskan lagi dengan penubuhan Pengakap Udara yang sama-sama berdiri teguh dengan Pengakap Darat dan Laut sejak tahun 1999 yang lalu, jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan beberapa pemerhatian dan pandangan bagi manfaat seminar tersebut iaitu PPNBD yang keahliannya merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur membolehkan ahli Pengakap yang lebih berpengalaman untuk menjadi pembimbing (mentor) kepada ahli-ahli yang lebih muda dalam pelbagai bidang.

PPNBD seterusnya dialu-alukan untuk mengorak langkah ke arah bidang 'Social Enterprise' yang mana sebahagian besar pergerakan dan persatuan belia yang mempunyai matlamat yang serupa dengan Persekutuan Pengakap termasuk pembentukan keperibadian, kepimpinan serta perkhidmatan sukarelawan kepada masyarakat telah mengambil langkah tersebut.

Selaras dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah keahlian ke 5,000 orang menjelang tahun 2024, Yang Berhormat seterusnya berpendapat, PPNBD juga dialu-alukan untuk memanfaatkan media sosial dan teknologi terkini dengan sepenuhnya demi untuk meningkatkan keahliannya, terutamanya di kalangan para belia.

"Demi untuk mempertingkatkan lagi pencapaian-pencapaian yang sudah diraih, Persekutuan Pengakap juga hendaklah mengambil langkah untuk membuahkan fikiran di luar kotak (outside the box) bagi mempelbagaikan lagi kegiatan yang mengembang majukan ahlinya, termasuk dalam alam perusahaan dan pertanian.

Apa yang penting, dalam apa jua inisiatif dan aktiviti yang akan dikendalikan, semangat patriotisme dan pengamalan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja perlu dipertahankan pada setiap masa oleh para pemimpin dan sekalian warga pengakap," terang Yang Berhormat Menteri lagi.

Attachments
Created at 7/8/2019 9:36 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/8/2019 9:40 AM by Lee Chin Foo