Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KE-14, 3 OGOS

240719-SidangMediaHariBelia-2019 (2).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hjh Ajijah Ali / Hj Mohd Syazwan bin Hj Abd Jalil - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Julai 2019 - Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Kali Ke-14 akan diadakan pada Sabtu, 2 Zulhijjah 1440 bersamaan 3 Ogos 2019, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Beberapa program disusun untuk dimuatkan dalam Majlis Sambutan HBK itu nanti, antaranya Penyampaian Anugerah HBK, iaitu Belia Cemerlang; Belia Berkhidmat; Pemimpin Muda Belia; dan Projek Cemerlang Untuk Belia yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Perhimpunan Ramah Mesra Belia pula akan diadakan di Dewan Persidangan Utama dengan masih mengekalkan konsep interaksi di antara peserta perhimpunan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Pada tahun ini, fokus utama Perhimpunan Ramah Mesra Belia adalah Keusahawanan dan Teknologi dengan format berdasarkan empat kluster utama, iaitu Ekonomi Kreatif (Creative Economy); Usahawan Sosial (Social Entrepreneur); Sukarelawan (Volunteerism); dan Aspek Pembangunan Berdaya Tahan (Sustainable Development Area).

Kesinambungan daripada perhimpunan tersebut, satu Pleno Usahawan Belia 2019 juga akan diadakan, dibukakan kepada orang ramai yang akan diadakan pada hari yang sama pada sebelah petang, iaitu sebanyak tiga sesi yang akan dikendalikan oleh Young Entrepreneurs Association Brunei (YEAB); dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei.

Sambutan juga akan diisikan dengan acara-acara sampingan, iaitu Majlis Doa Kesyukuran (Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Bacaan Surah Yaa Siin, Bertahlil serta Doa Kesyukuran) yang akan diadakan pada Khamis, 25 Julai 2019 di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas bermula pukul 5.30 petang.

Manakala Khutbah Jumaat khusus sempena Sambutan HBK 2019 pula akan diadakan pada Jumaat, 26 Julai.

Juga diadakan, Riadah Berbasikal, tertakluk pada ketetapan, bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-73, Tahun 2019; Hari Keluarga Kebangsaan; dan HBK.

Sementara Program Bas Belia pula akan diadakan pada 7 hingga 13 September 2019.

240719-SidangMediaHariBelia-2019 (1).jpeg

Attachments
Created at 7/25/2019 10:00 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 7/25/2019 10:12 AM by Lee Chin Foo