Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Peraduan Azan Subuh Sempena Maulidur Rasul

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

KUALA BELAIT, Jumaat, 30 Oktober. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Kampung Pandan menganjurkan Peraduan Azan Subuh bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Peraduan tersebut diungkayahkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada generasi masa kini untuk sama-sama menghayati dan menyemarakkan bulan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan aktiviti yang menjurus kepada keagamaan, dan pada masa yang sama, untuk memberikan peluang kepada ahli perpustakaan untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebuah tempat untuk menunjukkan bakat dan berkongsi ilmu kerana perpustakaan boleh dikunjungi orang ramai secara percuma.

Selain itu, ia juga dihasrat akan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai akan fungsi perpustakaan, yang bukan sekadar tempat untuk membaca dan meminjam buku sahaja, bahkan berbagai-bagai aktiviti juga kegiatan boleh diadakan di perpustakaan dan menjadikan ia sebuah pusat komuniti yang bermanfaat untuk semua golongan masyarakat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim di antara kakitangan, ahli-ahli perpustakaan, penduduk Kampung Pandan dan pengunjung yang menyertai peraduan.

Penyertaan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Kanak-Kanak, berumur 7 hingga 11 Tahun; dan Kategori Muda-Mudi, berumur 12 hingga 20 Tahun, masing-masing disertai oleh 14 kanak-kanak; dan 13 muda-mudi.

Dua orang hakim dilantik, iaitu Imam Masjid Lorong 3, Seria, Awang Md. Shahirwandy bin Haji Samsudin; dan Imam Masjid Pekan Seria, Awang Nor Azhar bin Haji Harith.

Semasa temu bual Pelita Brunei bersama Pemangku Penolong Pegawai Perpustakaan, Dayang Zaiton Haji Mohd. berkata, melalui peraduan seumpama itu, secara tidak langsung dapat mendekatkan peserta dengan aktiviti keagamaan dan bergiat aktif dalam sama-sama memanfaatkan kewujudan perpustakaan.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah, Pemangku Ketua Unit Sirkulasi Perpustakaan BSB, Awang Hadiyatullah bin Yahya.

Para pemenang peraduan menerima sijil penyertaan dan wang tunai juga langganan majalah secara percuma selama setahun, iaitu Mekar bagi para peserta Kategori Kanak-kanak; dan Juara Pelajar bagi para peserta Kategori Muda-Mudi (remaja).

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/31/2020 10:51 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/31/2020 10:51 AM by Nisbah Binti Hj Merusin