Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Unit Bruneiana Menjadi Tumpuan

Unit Bruneiana menjadi tumpuan 2.JPG

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 November. - Pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh Unit Bruneiana, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Program Bandarku Ceria, di ibu negara pagi ini menjadi platform dalam menarik minat orang ramai dari semua peringkat umur untuk mempelajari Bahasa Melayu Brunei dan hal ehwal semasa di negara ini.

Atendan Perpustakaan DBP, Nur Syamsina binti Samsuddin berkata, aktiviti berkenaan menggalakkan orang ramai untuk melibatkan diri dalam aktiviti perpustakaan, di samping membantu mengembangkan minda serta memberikan pendedahan mengenai apa jua koleksi yang terdapat di Unit Bruneiana.

Tambahnya, kebanyakan kanak-kanak dan muda-mudi tidak begitu mengenali bahasa-bahasa puak jati yang terdapat di negara ini.

"Oleh itu, kami cuba untuk memperkenalkan dan memupuk minat mereka bagi mempelajarinya melalui aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan," ujarnya kepada Pelita Brunei.

Beliau menjelaskan, pendekatan ini turut bertujuan untuk memeriahkan lagi Program Bandarku Ceria, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan masyarakat.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk Mewarna, Matematika, Teka Silang Kata, Mencari Benda Tersembunyi, Uji Minda dan Cuba Nasib.

Aktiviti dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu Kategori 'A': peserta berumur 3 hingga 8 tahun; Kategori 'B': 9 hingga 12 tahun; serta Muda-Mudi dan Dewasa.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti dan koleksi yang terdapat di Unit Bruneiana, orang ramai boleh melayari laman Instagram : '@Bruneianadbp'.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 11/2/2020 10:28 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 11/2/2020 10:28 AM by Nisbah Binti Hj Merusin