Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pertandingan Mereka Bentuk Kulit Buku Cerita Dibukakan

Oleh : Haniza Abdul Latif / Infografik : Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 November. - Bagi menggerakkan program perpustakaan secara dalam talian, di samping untuk merangsang kreativiti dan imaginasi belia dalam penceritaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Pertandingan Mereka Bentuk Kulit Buku Cerita.

Pertandingan tersebut adalah salah satu usaha DBP untuk menggalakkan dan mendekatkan orang ramai dengan perpustakaan, terutama sekali bagi golongan kanak-kanak dan muda-mudi, tetapi tidak juga ketinggalan bagi golongan dewasa.

Antara terma dan syarat pertandingan, ia dibukakan kepada Warganegara dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam; terbuka kepada remaja dan belia, berumur 15 hingga 30 tahun; dan setiap penyertaan hendaklah terdiri daripada Ahli Perpustakaan.

Reka bentuk yang dihantar akan menjadi hak milik DBP dan berhak untuk menerbitkan dalam apa jua bentuk, seterusnya berhak untuk mengubah suai reka bentuk tersebut tanpa persetujuan peserta berkenaan.

Semua penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup tidak akan dilayan dan peserta boleh menghantar lebih daripada satu reka bentuk, tetapi hanya satu reka bentuk terbaik akan dipilih untuk layak memenangi hadiah.

Selain itu, reka bentuk juga hendaklah asli dan belum pernah disiarkan dari mana-mana bahan cetakan atau sumber internet.

Pengisian kulit buku pula, hendaklah mengandungi maklumat, seperti tajuk buku; nama penulis; dan ilustrasi atau reka bentuk kulit buku.

Kulit buku itu juga hendaklah menggambarkan ilustrasi bagi cerita-cerita, iaitu Sinopsis Arina Elizabeth oleh Amlhjhmdlah; Sinopsis Takdir Kita oleh Amlhjhmdlah; Sinopsis Sempurna Bukan Dia oleh Bellofa; dan Sinopsis Unwritten Love oleh Syafiqah Suhaimi.

Kriteria penilaian adalah berdasarkan ketepatan dalam menggambarkan sinopsis cerita buku yang dipilih mengikut syarat dan format yang diterangkan; visual yang mempunyai ciri tersendiri dan mempunyai daya tarikan; dan kreativiti dalam menggambarkan ilustrasi cerita.

Penyertaan bolehlah dihantar melalui e-mel ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn' dengan mengisi maklumat yang lengkap, iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, e-mel dan Subjek : Pertandingan Mereka Bentuk Kulit Buku Cerita.

Format penyertaan hendaklah dihantar dalam format 'jpeg, png, .psd atau .pub' dan fail hasil karya yang dihantar hendaklah berukuran 210 x 297 mm.

Bagi sebarang pertanyaan, hubungi talian +673 2235501 sambungan 504 atau melalui Hotline +673 8266880 atau e-mel ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn'.

Tarikh tutup penyertaan, Selasa, 15 Disember 2020, 11.59 malam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/3/2020 3:49 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/3/2020 3:49 PM by Nisbah Binti Hj Merusin