Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kembangkan Bakat Penulis Muda

Kembangkan bakat penulis muda 2.JPG

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Disember. - Para peserta Bengkel Penulisan Cerpen diharap untuk terus berusaha menghasilkan karya khususnya dalam menghayati hakikat sastera iaitu 'Sastera itu tidak statik tapi dinamik'.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin menyarankan kepada peserta supaya memberi fokus sepenuhnya dan perlu aktif melibatkan diri di sepanjang bengkel diadakan.

Beliau selaku Pengerusi Program Penulis Muda 2020 juga menyatakan bahawa impak yang ingin dicapai dari bengkel ini nanti para peserta akan menghasilkan sekurang-kurangkan sebuah cerpen di akhir bengkel.

Kemudian, tambahnya, pembimbing akan memantau (menyemak) cerpen-cerpen peserta sehingga bersih dan setelah penilaian terhadap cerpen berkenaan yang mempunyai kualiti barulah akan diterbitkan ke dalam Majalah Bahana, DBP.

Lebih 20 peserta menyertai bengkel kali ini di bawah bimbingan Dr. Chong Ah Fok yang dikenali dengan nama pena Eyuman. Beliau mula menceburi bidang penulisan sejak 1975 dalam genre sajak, cerpen, esei, kritikan sastera, novel dan drama (radio dan televisyen).

Sepanjang tiga hari bengkel tersebut, sebanyak sembilan sesi akan diadakan untuk membimbing penulis muda bagaimana menghasilkan cerpen yang berkualiti.

Dalam bengkel tersebut, pembimbing akan memperkenalkan beberapa teknik penulisan cerpen dengan memaparkan beberapa contoh cerpen daripada penulis-penulis mapan dari Negara Brunei Darussalam dan juga penulis-penulis dari luar negara.

Bengkel Penulisan Cerpen (merupakan bengkel ketiga ia diadakan) adalah lanjutan daripada Program Penulis Muda yang dirasmikan pada 15 Oktober 2019 dan bengkel pertama, iaitu Bengkel Asas Penulisan Kreatif dan kemudiannya bengkel kedua iaitu Bengkel Penulisan Sajak.

Program Penulis Muda merupakan projek tahunan DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah bagi mewujudkan sumber manusia dan mampu menambah jumlah penulis generasi baharu tanah air (penulis muda) berbakat dan berpotensi dengan imej yang lebih dinamik, agresif dan kreatif.


Dipetik daripada Pelita Brunei

Tarikh: 07 Disember 2020

Attachments
Created at 12/8/2020 10:17 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/8/2020 10:17 AM by Nisbah Binti Hj Merusin