Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manfaatkan Ilmu Penerima The S.E.A Write Award

Manfaatkan ilmu penerima The S.E.A Write Award 3.JPG

BERAKAS, Isnin, 14 Disember. - Para penulis, sasterawan, penyair, pujangga dan seumpamanya mempunyai peranan yang amat mustahak dalam proses pembinaan negara bangsa itu.

Manfaatkan ilmu penerima The S.E.A Write Award 2.JPG

Para penulis memiliki daya fikir dan intelek yang tinggi serta berani untuk menggarap idea besar bagi sama-sama mendukung kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Pengayaan khazanah ilmu melalui penulisan dalam bahasa Melayu bukan sahaja memperlihatkan keagungan peradaban dan tamadun Melayu malah ia juga bertindak sebagai bukti kepada kekuatan dan pengembangan bahasa serta persuratan Melayu.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Bersama Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A Write Award) berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas.

Yang Berhormat berkata, Alhamdulillah, kita amat bersyukur pelbagai usaha dan dukungan dilaksanakan oleh DBP, terutamanya dalam melahirkan penulis, penyair dan penggiat sastera yang mapan dan prolifik sehingga mampu meraih pengiktirafan serta penghargaan baik dalam negara mahupun luar negara.

Manfaatkan ilmu penerima The S.E.A Write Award 4.JPG

Pencapaian itu tambahnya, dapat kita raih apabila penulis dan karya tanah air diangkat secara berterusan dengan adanya pengiktirafan dan pemberian anugerah di peringkat serantau, khususnya dengan The S.E.A. Write Award yang terkenal dan berprestij tinggi. Peluang inilah yang perlu kita pertahankan sebagai satu platform bagi kita untuk terus memperkenalkan dan mempromosikan karya-karya tempatan.

"Alhamdulillah, dengan adanya permuzakarahan pada hari ini, ianya merupakan satu tanda penghormatan dan penghargaan abis peramba / kaola / saya kepada penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara yang telah banyak berbakti dan berjasa menyumbangkan baik tenaga mahupun pemikiran untuk pembangunan dan pembinaan bangsa," ujar Yang Berhormat.

Majlis pada hari ini, jelas Yang Berhormat, juga cukup bermakna kerana banyak peluang keemasan yang akan diperoleh dan dapatkan secara terangkum iaitu satu lakaran sejarah diabadikan apabila penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara dari tahun 1986 hingga 2019, penulis prolifik, penulis mapan dan penulis muda dihimpunkan dalam satu majlis.

Yang Berhormat berkata, dalam menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita amat memerlukan para penerima anugerah ini untuk kita belajar, menimba pengetahuan dan pengalaman serta mendapatkan saranan dan nasihat bagi merangka hala tuju serta strategi pengukuhan, pelestarian dan penyebaran bahasa serta persuratan Melayu di negara ini.

Sepertimana yang dititahkan baginda ujarnya, peradaban dan tamadun bangsa itu dibangunkan dengan bahasanya sendiri. Ini bermakna peradaban dan ketamadunan yang tinggi itu dapat dilihat bagaimana bangsa menggunakan bahasa sebagai medium untuk menyatakan dan menyampaikan pemikiran.

Maka upaya pembangunan tamadun bangsa itu sangat memerlukan daya fikir masyarakat yang disampaikan dengan bahasa dan salah satu penyampaian itu adalah melalui penulisan.

Menurut Yang Berhormat lagi, bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta BDP secara khususnya, pemikiran, pendapat dan saranan daripada penerima-penerima anugerah pada hari ini mempunyai nilai yang tidak ada bandingnya bagi kita untuk merangka tindakan strategik dalam sama-sama membina dan membangun tamadun bangsa Melayu secara berterusan dan berkesan.

Di samping itu, tambahnya, di sinilah juga ruang dan peluang bagi memperkenalkan penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara dengan lebih dekat lagi kepada generasi penerus terutamanya para belia, remaja dan kanak-kanak.

"Oleh yang demikian, amat wajar bagi kita untuk benar-benar memanfaatkan platform yang sangat unik ini, mengukuhkan lagi jalinan silaturahim dan bagi penulis-penulis muda kita secara khususnya, untuk bersua dan berkenalan dengan para penulis yang tersohor demi menjamin hubungan antara generasi kini dan yang akan datang dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai jentera kepada pembangunan tamadun bangsa secara berterusan," terang Yang Berhormat.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 12/15/2020 10:57 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 12/15/2020 10:57 AM by Nisbah Binti Hj Merusin