Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pertandingan E-Pantun : Mendekatkan Masyarakat Dengan Perpustakaan

Oleh : Haniza Abdul Latif / Infografik : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 2 Mac. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cawangan Temburong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Pertandingan E-Pantun sebagai salah satu usaha DBP untuk menggalakkan dan mendekatkan orang ramai dengan perpustakaan terutama sekali bagi golongan kanak-kanak dan muda-mudi tetapi tidak juga ketinggalan bagi golongan dewasa.

Aktiviti tersebut turut diadakan untuk menggerakkan program perpustakaan secara dalam talian, di samping untuk merangsang kreativiti dan imaginasi remaja dan belia dalam penceritaan.

Terma dan syarat pertandingan ialah terbuka kepada Warganegara dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berumur 12 tahun ke atas; setiap penyertaan hendaklah terdiri daripada ahli perpustakaan; reka bentuk yang dihantar akan menjadi hak milik DBP dan DBP berhak untuk menerbitkan dalam apa jua bentuk.

DBP berhak untuk mengubahsuai reka bentuk tersebut tanpa persetujuan peserta berkenaan; semua penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup tidak akan dilayan; reka bentuk hendaklah asli dan belum pernah disiarkan dari mana-mana bahan cetakan atau sumber internet; dan hendaklah ada dua peserta untuk menyertai.

Tema bagi pertandingan pantun adalah Aidiladha dan hanya pantun jenis empat kerat yang dibenarkan, selain hanya menggunakan bahasa Melayu standard dan dua orang pemantun hendaklah berbalas pantun sebanyak empat rangkap bagi setiap seorang iaitu tidak kurang dari tiga rangkap dan tidak melebihi lima rangkap.

Pantun yang dijual merupakan soalan dan pantun yang dibeli merupakan jawapan dan hendaklah mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksud serta rima hujung baris mestilah berpolakan "a", "b", "a", "b".

Selain itu, pantun yang dikarang bukanlah saduran dari mana-mana karya yang pernah diterbitkan dan pemantun adalah dilarang menggunakan perkataan yang kurang sopan, menyentuh isu perkauman, politik, menggunakan dialek, bahasa pasar, singkatan atau bahasa asing.

Penyertaan boleh dihantar melalui WhatsApp melalui talian +673 8266880 atau e-mel ke 'perpustakaan.temburong@dbp.gov.bn' dengan maklumat lengkap, iaitu Nama, Nombor Kad Pengenalan, Nombor Telefon, E-mel, Subjek : Pertandingan E-Pantun.

Bagi sebarang pertanyaan, hubungi talian +673 5221281 atau layari laman-laman sosial Instagram dan Facebook 'Dbplibrarytemburong'. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 14 Mac 2021.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/3/2021 2:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/3/2021 2:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin