Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Awang Riduwan, Dayang Rozina Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka

Awang Riduwan, Dayang Rozina juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2.JPG

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Rabu, 3 Mac. - Awang Riduwan bin Johari yang mempersembahkan sajak bertajuk 'Kemerdekaan' karya K.Manis dan Dayang Rozina binti Awang Haji Salim dengan sajak 'Narasi Negeriku' karya A. Hashim Hamid masing-masing muncul juara bagi Kategori 'A' dan 'B' pada Peringkat Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-37, Tahun 2021.

Manakala naib juara Kategori 'A' disandang oleh Awang Mohammad Khairol Nazwan bin Haji Karim dengan sajak 'Narasi Negeriku', sementara Dayang Lenna Norsusilanita binti Bahari bagi Kategori 'B' dengan persembahan sajak bertajuk 'Anak Jati Merdeka' karya HJR.

Tempat ketiga Kategori 'A' pula dimenangi oleh Awang Haji Osman bin Haji Damit dengan sajak 'Tanah Air' karya Badaruddin H.O dan Dayang Hajah Armah binti Haji Bair memenangi tempat ketiga Kategori 'B' dengan sajak 'Merdeka Simfonia' karya Yahya M.S.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan hadiah kepada para pemenang, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Awang Riduwan, Dayang Rozina juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 3.JPG

Seramai 22 peserta yang terdiri dari 12 peserta bagi Kategori 'A' Lelaki dan Kategori 'B' Perempuan, dan sebanyak 11 penyertaan yang menyertai pertandingan peringkat saringan yang diadakan pada Khamis, 25 Februari lepas, dan hanya lima peserta bagi setiap kategori mara ke peringkat akhir pertandingan.

Sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah ini diadakan adalah bertujuan menyemarakkan semangat HK melalui sajak dalam bahasa Melayu.

Pelaksanaan sayembara ini merupakan satu inisiatif DBP dalam mengapresiasi karya penulis-penulis sastera tempatan yang diterbitkan oleh DBP sebagai satu kreativiti seni membaca, memahami dan menghayati sesebuah karya sastera.

Sajak-sajak yang dipertandingkan mengangkat tema nasionalisme dan patriotisme sesuai dengan objektif sayembara, iaitu menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-37, Tahun 2021.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Bahana DBP, 2019 yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Bagi Peraduan Menulis Cerpen, hadiah Penghormatan Pertama diraih oleh Dayang Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon dengan cerpen 'Sepasang Sayap di Mandian Puteri'; tempat kedua diberikan kepada Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup, iaitu cerpen bertajuk 'Paradok' dan tempat ketiga ialah Dayang Suryani binti Haji Ariffin dengan cerpen 'Wajah Luka Aiman'.

Sementara itu, dalam Peraduan Menulis Kritikan Sastera Bahana, DBP, 2019, hadiah Penghormatan Pertama diberikan kepada Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani; tempat kedua disandang oleh Dayang Siti Nadhrah binti Norzelan; manakala tempat ketiga, Awangku Mohd. Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup.

Juga hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/4/2021 3:12 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/4/2021 3:12 PM by Nisbah Binti Hj Merusin