Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bazar Buku, Platform Perkasa Pembudayaan Literasi

Bazar Buku, platform perkasa pembudayaan literasi 1.JPG

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TEMBURONG, Jumaat, 5 Mac. - Bazar Buku 2021 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu inisiatif dan komitmen DBP dalam mendayaupayakan program membaca dan literasi maklumat di samping menjayakan pengisian kegiatan bagi Festival Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD), Tahun 2021.

Bazar Buku yang julung kalinya diadakan pada tahun ini merupakan satu jenama baharu pameran dan jualan yang berkonsep kembara atau menjengah keluar daerah, iaitu menyapa komuniti dengan mengangkat tema 'Kembara Buku Santuni Masyarakat'.

Antara objektif penganjuran adalah untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat, berpendidikan, berpengetahuan, berkualiti dan berwawasan.

Sehubungan itu, Majlis Perasmiannya berlangsung di Dewan Belalong, Pekan Bangar, hari ini dan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir pada majlis perasmian tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Timbalan Setiausaha Tetap, (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

Majlis juga diselajurkan dengan penandatanganan poster kenangan Bazar Buku dan diikuti dengan pelancaran 11 buah buku terbaharu terbitan DBP dalam Kategori Sastera yang terdiri dari lapan sajak, dua skrip drama dan satu cerpen di mana hasil penulisan daripada beberapa orang penulis tanah air termasuk tiga orang penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award).

Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Majlis, dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran ini mencatat satu sejarah, iaitu pameran dan jualan buku, sebagai kegiatan Festival Hari Kebangsaan NBD dan InsyaaAllah akan diadakan setiap tahun sebagai program tahunan DBP.

Melalui platform Bazar Buku tambahnya, pasti membolehkan buku dan ilmu, kekal menjadi subjek dan agenda terpenting anjuran DBP, dalam memaknai pengisian acara Hari Kebangsaan dan sekali gus menterjemahkan keprihatinan tinggi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui KKBS dan DBP, untuk berkomitmen dalam memperkasa pembudayaan literasi kebangsaan dan membaca khususnya dalam kalangan masyarakat dan penduduk.

Bazar Buku, platform perkasa pembudayaan literasi 2.JPG

Para peserta jualan Bazar Buku 2021 pada tahun ini terdiri daripada penerbit kerajaan, institusi pengajian tinggi, toko buku dan syarikat swasta tempatan, iaitu DBP, Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Mufti Kerajaan, Perpustakaan Islam Brunei Darussalam, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Penerbit Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Penerbit Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Syarikat Marleina, MindPlus Trading dan MindTrex Academy.

Dalam masa yang sama, Bazar Buku 2021 juga menjadi platform kepada pemain industri kreatif untuk mengetengahkan naratif mereka melalui persembahan, pementasan lakonan dan adaptasi yang bersesuaian dengan penampilan Rumah Pusaka oleh Kumpulan Putra Seni (KPS).

Selain itu, pihak penganjur turut mengundang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terdiri daripada Konsortium Muallafpreneurs di bawah kendalian PDI yang mempamerkan dan menjual kraf tangan; Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang mengetengahkan bidang keusahawanan para belia dan beberapa vendor jualan serta 'food truck' makanan, minuman di luar Dewan Belalong.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke Bazar Buku 2021 yang diadakan di dua daerah iaitu Daerah Temburong bertempat di Dewan Belalong, Pekan Bangar bermula pada Sabtu hingga Ahad, 6 hingga 7 Mac 2021 bermula pada jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan di Daerah Belait bertempat di KB Sentral, Kuala Belait bermula pada Sabtu dan Ahad, 13 dan 14 Mac 2021 bermula pada jam 10.00 pagi hingga 9.30 malam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/8/2021 10:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/8/2021 10:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin