Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Lahirkan Penulis Proaktif

Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Mac. - Seramai 30 peserta dari pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion menyertai Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-2 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai salah satu pengisian di bawah Bengkel Penulisan Kreatif 2021.

Bengkel kendalian Cawangan Kanak-Kanak, Bahagian Perancangan Buku, DBP Brunei tersebut berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP dan akan berakhir pada 25 Mac nanti.

Di sepanjang bengkel, para peserta dibimbing oleh pakar Sastera daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Maslin bin Haji Jukim / Jukin untuk diberikan pendedahan dan pengajaran cara mendapatkan bahan, iaitu data melalui metode prima (temu bual informan) atau sekunder dan seterusnya penulisan cerita folklor.

Antara objektif utama bengkel diadakan ialah memberi pendedahan kepada generasi baharu untuk mempertahankan dan menghargai warisan serta budaya di Negara Brunei Darussalam (NBD) sekali gus melahirkan seorang penulis yang proaktif dan dapat memenuhi hasrat jabatan dalam menerbitkan penulisan cerita folklor.

Dalam usaha DBP Brunei untuk mengangkat martabat persuratan Melayu, bengkel ini sudah setentunya menjadi salah satu medium untuk menyebarkan maklumat dan ilmu khususnya melalui penceritaan folklor.

Menyentuh mengenai pengisian bengkel, Dr. Maslin semasa ditemu bual mengongsikan, para peserta akan diberikan penjelasan tentang apakah elemen-elemen penting, yang disebut elemen naratif dalam penulisan cerita folklor memandangkan mereka sudah memahami apa folklor dan di mana kedudukan cerita dalam ilmu folklor sendiri pada bengkel fasa pertama sebelumnya.

Elemen-elemen naratif seperti tema, watak, konflik, jalan penyelesaian, baik lawan jahat, cerita yang dikumpulkan dari mana-mana pihak, akan dijadikan rumusan untuk membentuk cerita dari bahan-bahan yang dipilih, bagi membolehkan peserta mencipta dan menghasilkan cerita lisan 'kitani', terutamanya cerita lisan Tujuh Puak Melayu Brunei.

Elemen naratif tersebut, katanya akan membentuk sebuah cerita sesuai dengan apa yang dihasratkan oleh DBP iaitu penulisan kreatif yang salah satunya untuk penulisan cerita folklor, selain untuk menjadi persediaan mereka menyertai Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak yang mereka ungkayahkan sendiri.

Bengkel selama tiga hari tersebut akan membimbing peserta menghasilkan cerita folklor dalam bentuk tulisan dan sekurang-kurangnya karya para peserta diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP, selain digalakkan untuk menyertai Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/6/2021 3:16 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/6/2021 3:16 PM by Nisbah Binti Hj Merusin