Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bengkel Bimbing, Latih Penulis Baharu

Oleh : Aimi Sani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Mac. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada penulis sedia ada dan penulis baharu untuk meningkatkan dan mempertajamkan lagi kemahiran penulisan baik dalam karya kreatif mahupun non-kreatif.

Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Kreatif bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, di sini.

Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan pada hari ini ujarnya, memberikan peluang kepada peserta-peserta bengkel untuk menimba ilmu dan memahami mengenai penulisan kreatif terutamanya penulisan cerita folklor dan novelet.

Dalam bengkel ini terang beliau, dua bengkel dikendalikan secara serentak iaitu Bengkel Penulisan Cerita Folklor yang dibimbing oleh Dr. Maslin bin Haji Jukim / Jukin dan Bengkel Penulisan Novelet pula dibimbing oleh Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Ibrahim bin Ampuan Haji Tengah.

Pengungkayahan kedua-dua bengkel ini tambahnya, adalah sebagai insentif kepada peserta bengkel dan penulis tanah air untuk menyertai Peraduan Menulis Folklor Tujuh Puak dan Sayembara Penulisan Novelet anjuran DBP yang masih dibukakan penyertaannya sehingga 30 Jun 2021.

Awang Suip seterusnya melahirkan harapan, melalui bengkel ini, para peserta akan mampu menghasilkan karya-karya kreatif yang berkualiti tinggi sehingga dapat diketengahkan dan di pertandingan dalam kedua-dua peraduan, sekali gus dapat diangkat sebagai karya kreatif terbaik.

Bengkel dihadiri oleh pegawai dan kakitangan jabatan di bawah KKBS, institusi-institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan orang perseorangan khususnya penggiat sastera tanah air.

Kedua-dua bengkel tersebut akan diadakan selama tiga hari bermula 23 Mac hingga 25 Mac 2021 dengan objektif utama bagi membimbing dan melatih penulis baharu yang berminat dalam penulisan kreatif, di samping dapat menerbitkan karya-karya kreatif dalam pelbagai genre dan mengangkat warisan budaya.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/6/2021 3:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/6/2021 3:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin