Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Timba Pengetahuan Dalam Dunia Penulisan Kritikan Sastera

Timba pengetahuan dalam dunia penulisan kritikan sastera 3.JPG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

- BENGKEL Kritikan Sastera 2021 diharap dapat memberikan pengetahuan dan pemahaman untuk menghayati karya-karya sastera dengan penerapan teori dan konsep sastera.
- SEBAGAI seorang pengkritik sastera, para peserta haruslah bersikap kritis, tekun, serius, komited dan mempunyai tanggungjawab besar dalam menilai buruk baiknya sesuatu mutu karya itu.

- SEORANG pengkritik perlu tahu mengenai teori, falsafah dan teknik, di mana seorang pengkritik juga harus rajin membaca karya-karya sastera mutakhir, di samping terus mendalami pelbagai teori kritikan sastera.


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 April. - Dalam usaha melahirkan penulis muda yang berpotensi dalam penulisan kritikan sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah menganjurkan Bengkel Kritikan Sastera 2021, yang diadakan di Dewan Patih Barbai, DBP Berakas, di sini.

Kegiatan ini diharap dapat memberikan pengetahuan dan pemahaman untuk menghayati karya-karya sastera dengan penerapan teori dan konsep sastera.

Selain itu, melalui bengkel itu juga diharap dapat melahirkan pelapis untuk meneruskan penulisan kritikan sastera dalam ruangan tertentu majalah, khususnya majalah Bahana, di samping meningkatkan kemahiran dan menjadi 'bekalan' kepada para penulis yang ingin menyertai Peraduan Menulis Kritikan Sastera Bahana DBP, yang dianjurkan setiap tahun.

Pada Majlis Pembukaan Bengkel Kritikan Sastera, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, dalam ucapan alu-aluannya, menggariskan sebagai seorang pengkritik sastera, para peserta haruslah bersikap kritis, tekun, serius, komited dan mempunyai tanggungjawab besar dalam menilai buruk baiknya sesuatu mutu karya itu.

Ini, tambahnya, kerana tugas dan tanggungjawab seorang pengkritik semakin berat dan mencabar kerana penulis / pengarang sudah terbuka dalam menciptakan gaya penulisan baharu juga eksperimen, yang bukan setakat bersifat imaginasi, tetapi perlu banyak kajian dan penyelidikan.

Justeru, seorang pengkritik perlu tahu mengenai teori, falsafah dan teknik, di mana seorang pengkritik juga harus rajin membaca karya-karya sastera mutakhir, di samping terus mendalami pelbagai teori kritikan sastera.

Bengkel Kritikan Sastera akan diadakan selama tiga hari, bermula hari ini, di mana para peserta berpeluang mendapat bimbingan juga tunjuk ajar daripada seorang pengkritik, peneliti dan pengkaji sastera yang tidak asing dalam arena penulisan kritikan sastera juga menghasilkan pelbagai buku akademik, berbentuk kajian sastera, iaitu Dr. Haji Morsidi bin Haji Muhamad.

Timba pengetahuan dalam dunia penulisan kritikan sastera 2.JPG

Seramai 25 peserta, terdiri daripada para penulis muda dan baharu hadir mengikuti bengkel berkenaan.

Dengan adanya bengkel sebegini, dapat memberikan mereka peluang untuk menimba ilmu pengetahuan, khususnya dalam dunia penulisan kritikan sastera, di samping dapat mempelajari sesuatu yang baharu, segar dan menarik juga berupaya membongkar nilai sastera melalui penulisan kritikan sastera yang berkualiti.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/10/2021 10:45 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/10/2021 10:45 AM by Nisbah Binti Hj Merusin