Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Terapkan Budaya Penulisan Rencana Ilmiah Berkualiti

Terapkan budaya Penulisan Rencana Ilmiah berkualiti 2.JPG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad

SENGKURONG, Rabu, 7 April. - Bengkel Penguasaan Penulisan Rencana Ilmiah diungkayahkan sebagai salah satu inisiatif dan usaha untuk meningkatkan kemahiran bagi melahirkan penulis-penulis yang berpotensi menguasai Penulisan Rencana Ilmiah.
 

Seramai 35 peserta, terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, dan penulis-penulis tanah air yang mempunyai potensi dalam Penulisan Rencana Ilmiah berjaya menamatkan bengkel mereka.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan mengungkayahkan bengkel tersebut selama tiga hari, bertempat di Perpustakaan DBP Cawangan Sengkurong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta dan pembimbing bengkel, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Bengkel yang mencakupi bimbingan, penerangan juga perbincangan dan latihan itu dibimbing oleh Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.

Antara pengisian bengkel, termasuklah Pengenalan Rencana Ilmiah; Rencana Ilmiah Itu Apa?; Bimbingan Teknik dan Gaya Penulisan rencana Ilmiah; Pilihan Tajuk, Penggarapan Isi dan Bahasa dalam Penulisan Rencana Ilmiah; Latihan; Kepentingan Carta, Statistik, Gambar Rajah dan Jadual dalam Rencana; juga Kepentingan Kerja Lapangan.

Bengkel, antara lain berobjektif untuk menerapkan dan membudayakan penulisan rencana ilmiah yang berkualiti; menekankan aktiviti kajian dan penyelidikan kualitatif ataupun kuantitatif dalam penulisan ilmiah; dan usaha ke arah mencapai jurnal berimpak tinggi.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/10/2021 10:54 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/10/2021 10:54 AM by Nisbah Binti Hj Merusin