Oleh : Khartini Hamir / Foto : Azmah Haji Ahad
-
Tema Bulan Bahasa 2021 ialah ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ yang menjadi
tanggungjawab dan kesedaran awam seluruh masyarakat dalam upaya
mendaulat dan melestari bahasa Melayu sebagai warisan sosial
masyarakatnya ke arah pembentukan jati diri bangsa.
- Kita sebagai bangsa Melayu yang sentiasa memelihara serta memperkasakan martabat kedaulatan bahasa Melayu.
- Hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lambang jati diri seharusnya difahami, dihayati dan diusahakan bersama-sama.
-
Semua warga dan masyarakat perlu berpegang teguh kepada bahasa Melayu
sebagai identiti dan jati diri kita yang satu-satunya, terutamanya dalam
kita berhadapan dengan cabaran mahupun peluang daripada arus
globalisasi.
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Julai. - Pada
menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sambutan Bulan Bahasa pada
tahun ini tampil berbeza untuk memberi impak yang lebih berkesan dengan
melibatkan semua kementerian di negara ini sebagai satu pendekatan
senegara.
Ini
kerana pemartabatan bahasa Melayu bukan sahaja disahkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) secara persendirian, ia merupakan tanggungjawab
bersama sebagai satu bangsa, satu negara dan satu bahasa.
Dalam
pada itu, mulai tahun ini juga, DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan (KKBS) mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi Bulan Bahasa 2021 yang
ahlinya terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan,
Kementerian Hal Ehwal Ugama, NGO, media massa dan para penulis tanah
air.
Sehubungan
itu, DBP pagi tadi menganjurkan Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2021 yang
diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan, di sini.
Hadir
selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia
dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji
Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji
Abidin.
Antara
objektif penganjuran Bulan Bahasa ialah memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa; memupuk rasa
kepemilikan bersama terhadap bahasa Melayu; memasyarakatkan bahasa
Melayu melalui keikutsertaan orang ramai; serta menggema dan
menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara.
Manakala
tema Bulan Bahasa 2021 ialah ‘Memperkasakan Bahasa Melayu’ yang menjadi
tanggungjawab dan kesedaran awam seluruh masyarakat dalam upaya
mendaulat dan melestari bahasa Melayu sebagai warisan sosial
masyarakatnya ke arah pembentukan jati diri bangsa.
Ini
sebagaimana yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan dalam ucapannya menjelaskan, tema ini memanifestasikan
perakuan kita sebagai bangsa Melayu yang sentiasa memelihara serta
memperkasakan martabat kedaulatan bahasa Melayu.
Justeru
tambah Yang Berhormat, langkah untuk mempelbagaikan dan memperhebatkan
lagi kegiatan-kegiatan Sambutan Bulan Bahasa pada kali ini melalui
pendekatan Whole of Nation amatlah tepat pada masanya.
“Hala
tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lambang jati diri seharusnya
difahami, dihayati dan diusahakan bersama-sama. Dukungan dan
keprihatinan kita hendaklah merapusi pelbagai aspek, baik daripada segi
pembinaan, pembentukan dan penyelidikan mengenainya”.
“Dan
kita selaku orang Brunei, apa yang paling penting ialah kepekaan kita
terhadap keadaan dan penjagaan ‘Melayu’ sebagai salah satu teras
falsafah Melayu Islam Beraja, kerana ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ dan
‘Bahasa adalah Lambang Jati Diri Bangsa’,” tegas Yang Berhormat lagi.
Yang
Berhormat seterusnya menyarankan kepada semua warga dan masyarakat
untuk berpegang teguh kepada bahasa Melayu sebagai identiti dan jati
diri kita yang satu-satunya, terutamanya dalam kita berhadapan dengan
cabaran mahupun peluang daripada arus globalisasi.
Semoga
keprihatinan, usaha dan sokongan padu semua pihak tambahnya dalam
sambutan kali ini akan memberikan nilai tambah dalam menjamin
kegemilangan, kerelevanan dan kelangsungan martabat bahasa Melayu secara
berterusan.
Terdahulu,
atur cara membuka tirainya dengan Irama Tambang Syair Begawan berjudul
‘Syair Ristaan Dewan Bahasa dan Pustaka’ hasil nukilan Awang Haji Kiflee
Tarsat pada tahun 2007 yang diiramakan oleh Dayang Halimatus Rabeatul
Saiedah binti Huzaimi.
Seterusnya,
bacaan Ikrar Bahasa oleh Duta Bahasa, peserta Pidato Kebangsaan dan
wakil institusi pengajian tinggi, pegawai dan kakitangan DBP yang
diketuai oleh Penerima Anugerah Duta Bahasa 2015, Awang Mohd. Zefri
Ariff bin Mohd. Zain Ariff.
Ikrar Bahasa ini turut dibaca dan ditayangkan secara langsung melalui maya (virtual) menerusi aplikasi Zoom.
Antara
institusi kerajaan yang turut membaca Ikrar Bahasa secara langsung
ialah Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri,
Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong, Jabatan Elektrik Bandar
Seri Begawan, Jabatan Elektrik Belait, Jabatan Elektrik Seria,
Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei, Pusat
Evolusi Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Penanjong
Garison, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Ma’had Islam
Brunei, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak
Hajah Saleha, Sekolah Arab Temburong, Sekolah Arab Belait dan sembilan
buah Perpustakaan DBP di seluruh negara.
Selain
itu, bacaan ikrar ini juga turut ditayangkan secara langsung melalui
media sosial DBP (Instagram dan Facebook) bagi tujuan menggema dan
menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Bahasa 2021 serta memberi ruang kepada
orang ramai, terutama para pencinta bahasa untuk sama-sama bergabung
membacakan Ikrar Bahasa secara maya.
Juga
hadir bagi sama-sama mengetuai bacaan Ikrar Bahasa di Perpustakaan DBP
Temburong, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), KKBS,
Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; di Perpustakaan
DBP Tutong, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti
Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; manakala di Perpustakaan DBP Pandan,
Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Saidah binti
Haji Wahid @ Burut.
Sejurus
selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan Aspirasi Ilmu, Forum Bahasa
Melayu yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Kebudayaan
dan Kesenian, KKBS, Awang Haji Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit.
Antara
ahli panel forum terdiri daripada Ra’es Kolej Universiti Perguruan
Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Elit
Budaya, Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid; dan Profesor Adjung Pusat
Pembelajaran Sepanjang Hayat, UBD, Profesor Adjung Awang Haji Mohd.
Rozan bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Majlis
seterusnya diserikan lagi dengan sebuah deklamasi sajak berjudul
‘Balada Bahasa Bangsaku’ karya Panji Lara yang dideklamasikan sendiri
oleh Ahli Kumpulan Putra Seni (KPS) yang bergiat aktif dalam pementasan
drama iaitu Awangku Mohammad Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran
Hidup.
Majlis
berakhir dengan penyampaian cenderamata penghargaan dan hadiah kepada
pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan
Melayu Brunei Cambridge GCE Peringkat ‘O’ dan ‘A’ bagi tahun 2020 yang
disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat majlis.
Juga hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Dipetik daripada Pelita Brunei