Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Terus Melahirkan Generasi Berkemahiran Penulisan Cerita Folklor

Terus melahirkan generasi berkemahiran penulisan cerita folklor 2.PNG

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

- Hasil dari Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-III akan didokumentasikan dan diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP.

- DBP juga bekerjasama dengan RTB untuk menjadikan cerita-cerita folklor para peserta sebagai projek animasi yang setentunya akan mampu menjadi nilai tambah pendidikan kepada masyarakat, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

- Dalam jangka masa panjang, pencapaian bengkel tersebut nanti akan diusulkan untuk disenaraikan di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai langkah usaha untuk melestarikan dan mempromosikan warisan budaya milik Negara Brunei Darussalam.


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Julai. - Majlis Pembukaan Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-III anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan dan Kesenian (BKK), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Radio Televisyen Brunei (RTB) sempena Bulan Bahasa 2021 berlangsung pagi tadi di Dewan Digadong, KKBS. 

Hadir selaku tetamu khas dan seterusnya merasmikan bengkel tersebut, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. 

Bengkel tersebut merupakan kesinambungan dari bengkel sebelumnya dan kini memasuki fasa ketiga, yang bermakna bahawa satu lagi pencapaian jabatan berkenaan dalam upayanya melahirkan generasi pelapis yang mampu menguasai kemahiran penulisan cerita folklor. 

Bengkel kali ini mengetengahkan dan memfokuskan pembelajaran Doku-Drama di bawah bimbingan Pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Maslin bin Jukim / Jukin. 

Hasil dari bengkel ini nanti akan didokumentasikan dan diterbitkan dalam bentuk buku oleh DBP.

DBP juga bekerjasama dengan RTB untuk menjadikan cerita-cerita folklor para peserta sebagai projek animasi yang setentunya akan mampu menjadi nilai tambah pendidikan kepada masyarakat, terutama dalam kalangan kanak-kanak. 

Dalam jangka masa panjang, pencapaian bengkel tersebut nanti akan diusulkan untuk disenaraikan di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai langkah usaha untuk melestarikan dan mempromosikan warisan budaya milik Negara Brunei Darussalam.

Antara objektif bengkel adalah untuk mendedahkan kepada para penulis, pelajar dan juga penyelidik tentang cara untuk mendapatkan bahan dan cara penulisan folklor, termasuklah pengenalan ciri-ciri folklor, pencarian data primer dan sekunder serta kerja-kerja lapangan; mengidentifikasikan cerita-cerita rakyat yang dapat diketengahkan agar dapat didokumentasikan dan diketengahkan kepada masyarakat umum agar khazanah budaya warisan yang lama tercicir dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang; dan mempelajari cara mengembangkan cerita kepada drama pendek, iaitu Doku-Drama yang akan difilemkan oleh RTB dan dalam bentuk buku yang akan diterbitkan oleh DBP.

Seramai 40 orang peserta bengkel yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari BKK, KKBS, RTB, DBP, Pusat Sejarah Brunei, mahasiswa UBD dan peserta persendirian.

Bengkel Penulisan Cerita Folklor Ke-III diadakan selama lima hari, iaitu bermula dari Sabtu, 10 Julai 2021; Isnin hingga Rabu, 12 hingga 14 Julai 2021; dan Sabtu, 17 Julai 2021. 

Pengisian bengkel disusun dengan pelbagai tugasan dan sesi praktikal, antaranya Tayangan Doku-Drama; Diskusi Segmen Tayangan Doku-Drama; Identifikasi Bahan Untuk Diadaptasi Ke Genre Lain; Menemu Bual Informan atau Simulasi; Sinopsis dan Aspek Naratif; Plot Memilih Adegan dalam Skrip; Menulis Skrip Doku-Drama; dan Melakonkan skrip. 

Majlis Penutupan Bengkel akan diadakan pada Sabtu, 17 Julai 2021 sesi petang dengan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/22/2021 11:00 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/22/2021 11:00 AM by Nisbah Binti Hj Merusin