Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Penulis Tempatan Terus Diiktiraf

Penulis tempatan terus diiktiraf  2.PNG

Siaran Akhbar dan Foto : Dewan Bahasa dan Pustaka

• Panel Penilai Anugerah bagi Negara Brunei Darussalam telah sepakat untuk memilih Novel Angin Koperasi yang sekali gus mengangkat penulisnya, Awang Haji Bujang bin Haji Matnor dengan nama pena beliau, Bujang M.N.

• Anugerah berprestij ini merupakan apresiasi yang sangat besar kepada bidang sastera negara serantau. Ia bukan sahaja dapat mengangkat dan menghargai nama penulis sesebuah negara, malah mendorong dan menggalakkan para penulis negara serantau untuk terus aktif berkarya dan aktif dalam hal-hal kemasyarakatan yang menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan dunia kesusasteraan.

BELAIT, Sabtu, 17 Julai. - Sebagai penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan penulis tempatan yang telah dipilih sebagai calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) Tahun 2020, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Majlis Mengagai, hari ini, di sini.

Rombongan ‘mengagai’ diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; Pegawai-pegawai kanan DBP; Panel Penilai Anugerah Penulis Asia Tenggara dan Urus Setia Unit Pengiktirafan.

Menurut kenyataan yang diberikan, Panel Penilai Anugerah bagi Negara Brunei Darussalam telah sepakat untuk memilih Novel Angin Koperasi yang sekali gus mengangkat penulisnya, Awang Haji Bujang bin Haji Matnor dengan nama pena beliau, Bujang M.N.

Penulis tempatan terus diiktiraf  1.PNG

Majlis tersebut berlangsung di kediaman Awang Haji Bujang di Kampung Sungai Taring.

Anugerah Penulis Asia Tenggara merupakan anugerah yang diberikan setiap tahun sejak tahun 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara. Anugerah ini diwujudkan oleh kerajaan Thailand bagi mengiktiraf penulis-penulis dan penyair terkemuka di negara-negara rantau ASEAN iaitu Negara Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Lao, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Viet Nam.

Negara Brunei Darussalam mula diundang untuk menghantar penulis bagi menerima anugerah berkenaan pada 1986. Setiap tokoh penerima anugerah yang dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan hasil karya yang telah terbit mengikut genre yang ditetapkan oleh pihak penganjur di Bangkok, Thailand.

DBP, KKBS melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan bertanggungjawab selaku Urus Setia Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Negara Brunei Darussalam.

Anugerah berprestij ini merupakan apresiasi yang sangat besar kepada bidang sastera negara serantau. Ia bukan sahaja dapat mengangkat dan menghargai nama penulis sesebuah negara, malah mendorong dan menggalakkan para penulis negara serantau untuk terus aktif berkarya dan aktif dalam hal-hal kemasyarakatan yang menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan dunia kesusasteraan.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/27/2021 3:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/27/2021 3:28 PM by Nisbah Binti Hj Merusin