Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin
BERAKAS, Isnin, 26 Julai. -
Bengkel Adaptasi Novel ke Skrip Drama Pentas anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perancangan Buku memicu para peserta
dalam memahami novel dan memudah cara penulisan skrip drama pentas
melalui novel-novel terbitan DBP.
Berucap
semasa bengkel berkenaan, Ketua Bahagian Perancangan Buku DBP selaku
Pengerusi Bengkel, Pengiran Hajah Rosenani binti Pengiran Haji Halus,
yang juga antara lain berharap agar bengkel itu dapat melahirkan penulis
yang ‘versatile’ dan berani menceburi bidang baharu, selain menyuntik
semangat para peserta untuk berkarya.
Menurutnya,
bengkel adaptasi novel itu memfokuskan kepada sebuah novel karya Yura
Halim berjudul ‘Mahkota Yang Berdarah’ yang berlatarbelakangkan sejarah
kebruneian, kesultanan dan kebudayaan.
Lebih
30 orang peserta mengikuti bengkel tersebut yang diadakan selama empat
hari, bermula 26 hingga 29 Julai 2021, bertempat di Balai Sarmayuda,
DBP, Jalan Pembangunan, Lapangan Terbang Lama Berakas.
Bengkel
dikendalikan oleh Dayang Ena Herni binti Wasli dan Awang Haji Mohd.
Sapami bin Abdullah yang berpengalaman dalam mengendalikan bengkel dan
penulisan skrip drama.
Objektif
utama bengkel ini adalah untuk membimbing dan melatih penulis baharu
serta menggalakkan penulis berkecimpung dalam pelbagai genre.
Selain
itu, bengkel bertujuan memberi kefahaman mengenai Peraduan Adaptasi
Novel Ke Skrip Drama Pentas dan menjadi penanda aras (benchmark) kepada
peraduan yang akan diadakan.
Bengkel
berkenaan merupakan salah satu kaedah untuk mendekatkan karya sastera
tanah air, sekali gus mengembangkan sastera ke peringkat yang lebih
tinggi, di samping sebagai medium untuk menyebarkan maklumat dan ilmu.
DBP melihat ilmu kesenian dan kebudayaan sebagai satu keperluan dan kepentingan dalam pembelajaran.
Ke
arah itu, DBP melangkah ke hadapan dengan mempelbagaikan produk sebagai
bahan lokal untuk melestarikan warisan dan budaya Brunei.
Dipetik daripada Pelita Brunei