Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Sudut Penerbitan Al-Khalil Dilancarkan

Sudut Penerbitan Al-Khalil dilancarkan 1.PNG

Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

• USAHA tersebut dipertingkatkan lagi dengan penyediaan satu sudut di Perpustakaan DPB pusat bandar melalui sumbangan bahan bacaan daripada kedutaan tersebut, dinamakan Sudut Terbitan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi.

• SECARA keseluruhan, sekitar 200 bahan penerbitan yang menyoroti sumbangan sarjana-sarjana Kesultanan Oman terkenal di beberapa cabang ilmu terdapat di sudut penerbitan tersebut.


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Julai. - Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam begitu aktif dengan gerakan budaya membaca melalui penyertaan ‘reruai’ (booth) kedutaan berkenaan di setiap penganjuran Pesta Buku Brunei, sebagai sokongan dan dukungan kepada usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa budaya membaca di negara ini.

Usaha tersebut dipertingkatkan lagi dengan penyediaan satu sudut di Perpustakaan DPB pusat bandar melalui sumbangan bahan bacaan daripada kedutaan tersebut, dinamakan Sudut Terbitan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-75.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmiannya ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sudut tersebut dinamakan sempena Ahli Filologi, Ahli Leksikografi dan Ahli Tatabahasa Oman yang terkenal, Al-Khalil bin Ahmal Al-Farahidi, yang menyusun kamus Arab pertama dikenali sebagai Kitab al-'Ayn, antara penerbitan yang diserahkan kepada Perpustakaan DBP.

Secara keseluruhan, sekitar 200 bahan penerbitan yang menyoroti sumbangan sarjana-sarjana Kesultanan Oman terkenal di beberapa cabang ilmu terdapat di sudut penerbitan tersebut, termasuk beberapa koleksi bacaan santai yang menarik mengenai sejarah, geografi, budaya, tradisi, sastera dan warisan Kesultanan Oman.

Menyentuh mengenai sumbangan tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke NBD, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari dalam ucapannya menyatakan, pelancaran tersebut ialah peluang untuk meraikan salah satu faktor dan alat asas yang paling kuat dalam penyebaran dan pemeliharaan pengetahuan dan pertukaran budaya, iaitu buku dan ia sesuai dengan inisiatif Kerajaan Kebawah DYMM dalam membina bangsa pembaca.

Terdahulu memulakan majlis, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab menzahirkan rasa berbesar hati atas sumbangan bahan bacaan termasuk cakera padat, yang setentunya akan memberikan manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Sumbangan tersebut, tambahnya, bukan sekadar untuk menambah koleksi perpustakaan, tetapi juga mempromosikan dan mengongsikan pengetahuan dan kebudayaan Negara Kesultanan Oman untuk memberi nilai pengetahuan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Sempena dengan majlis perasmian tersebut, TYT menyampaikan potret berbingkai yang menunjukkan Kebawah DYMM bersama Kebawah DYMM Sultan Qaboos bin Said, Almarhum Sultan Oman, semasa lawatan baginda ke Kesultanan Oman pada tahun 2009 kepada Perpustakaan DBP.

Turut hadir, wakil-wakil dari Gulf Cooperation Council; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, (KKBS), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/28/2021 2:42 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/28/2021 2:42 PM by Nisbah Binti Hj Merusin