KUALA BELAIT, Isnin, 2 Ogos. -
Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan dengan
kerjasama Unit Tabung Simpanan Darah menganjurkan Kempen Derma Darah
bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam Yang Ke-75 bagi Daerah Belait, di perpustakaan
berkenaan, hari ini.
Kempen
Derma Darah tersebut bertujuan untuk sama-sama membantu dalam mengumpul
seberapa banyak darah daripada penderma untuk keperluan orang-orang
yang memerlukan.
Pemangku
Penolong Pegawai Perpustakaan, Dayang Zaiton Haji Mohd. Napi, ketika
ditemui berkata, kempen berkenaan diadakan di perpustakaan untuk
menjadikan perpustakaan sebagai sebuah pusat komuniti yang bermanfaat
untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.
"Perpustakaan
adalah sebuah tempat yang sesuai untuk mengadakan pelbagai aktiviti
atau kegiatan bagi semua peringkat umur," tambah beliau.
Selain
itu, DBP juga mempromosi dan menawarkan Bilik Aktiviti Umum, Bilik
Aktiviti Kanak-kanak dan di ruang lantai atas untuk aktiviti acara
keraian, majlis pertunangan, majlis nikah atau kahwin dan sebarang
kegiatan secara percuma mengikut terma dan syarat.
Pelita
Brunei menemu bual salah seorang penderma darah, Awang Bakhari bin Haji
Jalut, 57 tahun, yang sudah lebih daripada 20 kali menderma darah dan
mempunyai darah jenis AB.
Beliau
yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta, PTAS Aker, sebagai 'Store
Keeper', berhasrat untuk meneruskan menderma darah selagi kesihatan
mengizinkan.
Sementara
itu Dayang Sadiah binti Salleh, 33 tahun, yang mempunyai darah jenis A+
pula, menjelaskan, Kempen Derma Darah kali ini merupakan kali keempat
beliau menderma, di mana dengan menderma darah mampu menyelamatkan nyawa
seseorang.
Seorang
individu itu boleh menderma sehingga 0.5 liter darah pada satu-satu
masa, di mana derma darah terakhir juga adalah sekurang-kurangnya 90
hari sehingga awda boleh menderma lagi. Menderma darah mengurangkan
risiko sakit jantung, malah boleh membantu menyeimbangkan zat besi di
dalam badan penderma.
Menderma
darah juga merupakan amal kebajikan, bukan sahaja daripada harta benda,
malah ia dapat membantu menyelamatkan nyawa seseorang.
Dipetik daripada Pelita Brunei