Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kekayaan Perbendaharaan Kata Bahasa Melayu-Indonesia

Oleh : Aimi Sani / Foto : Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mei. - Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook 'DBP Brunei' dan aplikasi Zoom, hari ini.

Siri Pembentangan Ke-14 ini menampilkan pemakalah yang berasal dari Perancis, Jururunding Syarikat PrepAsia, Perancis iaitu Dr. Laurent Metzger.

Manakala Pengerusi Kongres pula ialah Pegawai Bahasa, DBP Brunei, Awang Raieham bin Mohd. Salleh. Kongres kali ini mengupas aspek bahasa dengan tajuk 'Kekayaan Perbendaharaan Kata dalam Bahasa Melayu-Indonesia'.

Antara yang dihuraikan ialah kekayaan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu-Indonesia yang mempunyai pelbagai sifat yang sangat menarik dan bagaimana sesuatu peribahasa itu mempunyai kepelbagaian makna dari satu bahasa ke bahasa yang lain.

Dalam pembentangan tersebut, Dr. Laurent turut menyatakan bahawa dunia menghadapi ancaman daripada bahasa Inggeris yang dalam proses mempengaruhi semua bahasa termasuk bahasa Melayu-Indonesia dan Perancis.

Secara kesimpulannya, kertas kerja yang dibentangkan bertujuan untuk menunjukkan betapa luas perbendaharaan kata bahasa Melayu-Indonesia.

Seramai 128 orang pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abd. Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Kongres ini juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 5/24/2022 10:43 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 5/24/2022 10:43 AM by Nisbah Binti Hj Merusin