Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Kedudukan Bahasa Melayu Di Nusantara Mantap, Terus Digunakan

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Jun. - Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM) mengupas aspek bahasa, yang bertajuk 'Bahasa dan Ideologi Negara : Kajian Bandingan Keberdayaan Bahasa, di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura'.

Siri pembentangan kali ke-17 KABSBM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom, menampilkan pemakalah dari Singapura, Penyelidik dan Pemerhati Bahasa Singapura, Dr. Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz.

Kongres dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa DBP Brunei, Dayang Masni binti Moktal.

Pembentangan mengemukakan perbincangan dan dapatan kajian bandingan terhadap keberdayaan bangsa dan bahasa, di empat buah negara utama penutur Bahasa Melayu / Indonesia, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Keberdayaan bahasa itu juga dikorelasikan (hubung kait) dengan keadaan bahasa di kawasan tertentu, penggunaan bahasa yang dipengaruhi oleh persepsi, sikap, dasar, agama dan persekitaran.

Dapatan daripada kajian yang dihuraikan membuktikan, bahawa kedudukan bahasa Melayu di nusantara adalah mantap dan terus digunakan, sama ada sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu atau bahasa komunikasi luas.

Seramai 134 pelayar menghadiri KABSBM secara maya itu, terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara; rakan-rakan strategik DBP; pegawai-pegawai kanan kerajaan; dan para pencinta bahasa, sastera serta budaya dari dalam dan luar negara.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 6/4/2022 9:24 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 6/4/2022 9:24 AM by Nisbah Binti Hj Merusin