Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Mempertahankan Warisan Budaya

Berita: Aimi Sani / Foto: Ihsan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diteruskan lagi secara maya melalui penstriman platform Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan aplikasi Zoom, pagi tadi.

Siri pembentangan kali ke-19 ini menampilkan pemakalah dari Negara Brunei Darussalam, iaitu Pemangku Pengarah, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit.

Manakala, Pengerusi kongres pula ialah Pegawai Bahasa DBP Brunei, Awang Raieham bin Mohd. Salleh.

Kongres kali ini mengupas tentang aspek budaya dengan tajuk 'Kerjasama Pelbagai Hala: Masa Hadapan Bagi Warisan Budaya Tak Ketara Kebangsaan'.

Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah Warisan Budaya Tak Ketara (Intangible Cultural Heritage) seperti pantun, kraf tangan, seni persembahan dan acara-acara tradisi yang merupakan warisan yang terpelihara; serta kesukaran penjagaan Warisan Budaya Tak Ketara yang diamalkan sejak zaman dahulu oleh pelbagai negara yang mengamalkan budaya yang serupa.

Selain itu, peranan KKBS dalam mempertahankan warisan budaya tersebut dapat dilihat daripada pelbagai usaha dan aktiviti yang diungkayahkan.

Seramai 124 orang pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak; para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, para pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Ia juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan para pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 6/9/2022 2:57 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 6/9/2022 2:57 PM by Nisbah Binti Hj Merusin