Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Muslim Burmat : Tokoh Sastera Hasilkan Karya Hebat

Muslim Burmat  Tokoh sastera hasilkan karya hebat.PNG

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Jun. – Negara Brunei Darussalam (NBD) memiliki karya-karya besar, yang ditulis oleh tokoh-tokoh sastera dan penulis-penulis tanah air yang mampu mengangkat karya mereka merentasi sempadan global.

Selain itu, negara juga memiliki barisan nama-nama besar sebagai tokoh atau sasterawan, yang mengangkat tamadun bangsa Brunei ke persada serantau dan antarabangsa.

Perkara tersebut antara yang dinyatakan Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya semasa Multaqa Anugerah Sastera Mastera : Memoir Muslim Burmat, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Tokoh Sastera Brunei yang dikenang pada hari ini tambahnya, telah banyak menghasilkan karya sehingga meninggalkan pengaruh yang besar kepada masyarakat dan generasi seterusnya, iaitu Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut @ Muslim Burmat yang merupakan seorang tokoh sastera yang cukup disegani, baik dalam mahupun luar negara kerana hasil karya-karya beliau yang cukup hebat dengan nilai nasionalisme kepada bangsanya.

Menyentuh mengenai majlis apresiasi tersebut, Awang Suip berkata, ia merupakan peluang untuk mereka berkumpul bersama bagi menzahirkan penghargaan dan penghormatan atas jasa bakti serta sumbangan Allahyarham terhadap perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan tahlil bagi Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut.

Diikuti dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar ristaan, pandangan daripada penulis-penulis tanah air dan luar negara serta karya-karya Muslim Burmat sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia penulisan dan kesusasteraan.

Multaqa kali ketiga itu juga mengetengahkan konsep forum, iaitu membicarakan mengenai penglibatan dan ketokohan Allahyarham dalam dunia penulisan dan kesusasteraan serta membincangkan beberapa karya Allahyarham daripada panel-panel forum, yang terdiri dari Penulis Muda, Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani selaku Moderator; Pegawai Bahasa Kanan, DBP, Dr. Haji Mohd. Ali bin Haji Radin (H.Mar); Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd. Zain Ariff (Zefri Ariff Brunei) yang juga Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011; dan Mantan Pensyarah UBD, Awang Haji Kamis bin Haji Tuah.

Majlis kemudian diserikan lagi dengan persembahan teater daripada Kumpulan Putra Seni (KPS) yang mempersembahkan salah satu karya daripada Muslim Burmat.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyampaikan sumbangan wakaf berbentuk barang keperluan daripada pihak DBP khusus atas nama Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut kepada wakil Masjid Kampung Beribi, dan juga cenderamata kepada panel forum serta moderator.

Pengungkayahan majlis itu diharapkan akan dapat meningkatkan lagi pembangunan kesusasteraan negara dengan melibatkan penyertaan masyarakat khususnya para belia dan penulis tanah air dalam dunia penulisan dan kesusasteraan kerana bidang tersebut juga turut memberikan sumbangan yang penting dalam pembangunan negara.

Multaqa Sasterawan Brunei sebagai projek tahunan DBP melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, merupakan antara daya upaya jabatan itu dalam memberikan penghargaan dan apresiasi kepada penulis tanah air yang pernah menerima anugerah berprestij sama ada peringkat negara ataupun serantau, iaitu didahulukan dengan Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKI), kemudian Penerima Anugerah Sastera Mastera (ASM) dan diikuti dengan Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award).

Antara objektif Multaqa tersebut adalah untuk mengapresiasi dan memberi penghormatan kepada penulis-penulis tanah air yang telah menerima anugerah-anugerah dalam dan luar negara atas jasa serta bakti mereka dalam menyumbangkan tenaga mahupun pemikiran untuk pembangunan dan pembinaan bangsa; mengangkat ketokohan dan kepengarangan penulis-penulis tanah air kepada masyarakat dan generasi muda khasnya; dan mengetengahkan dan menyerlahkan hasil karya penulis-penulis tanah air kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

Majlis juga diselajurkan dengan Pembukaan Semula Kedai Buku DBP yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang diadakan di aras bawah, bangunan DBP, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Selain pembayaran secara tunai, Kedai Buku DBP turut menawarkan pembayaran secara dalam talian (online), sama ada menggunakan BIBD NexGen Wallet, BIBD QuickPay atau Swipe Card.

Genre buku yang dijual ialah Ilmiah, Umum, Sastera, Kanak-Kanak dan Komik selain, majalah dan jurnal terbitan DBP yang juga boleh didapati di Kedai Buku DBP.

Waktu beroperasi Kedai Buku DBP iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 6/16/2022 2:58 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 6/16/2022 2:58 PM by Nisbah Binti Hj Merusin