Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Melestarikan Dialek Tempatan

Melestarikan dialek tempatan 2.PNG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

TEMBURONG, Sabtu, 19 September. - Pengaruh bahasa memainkan peranan yang penting dalam membentuk budaya dan melestarikan kelangsungan budaya sesuatu masyarakat.

Namun perubahan bahasa / dialek yang berlaku terlalu pantas dalam budaya dan komunikasi sosial sesuatu masyarakat itu menyebabkan nilai bahasa tidak lagi begitu dipandang dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Keadaan ini memberikan impak yang drastik dan mengubah haluan bahasa mahupun dialek baik dari segi penggunaan atau pengekalan bahasa / dialek.

Justeru perkara ini sangat perlu dipandang serius oleh masyarakat, perancang bahasa dan para pengkaji dalam usaha untuk melestarikan semula pengetahuan bahasa / dialek masing-masing.

Ini kerana jika dibiarkan terus berlangsung, fenomena ini akan merosakkan kredibiliti bahasa / dialek, yang selama ini bukan sahaja sebagai perantaraan lisan, malah berfungsi sebagai perantaraan ilmu pengetahuan informal masyarakat.

Pegawai Bahasa, Dayang Hajah Norati binti Bakar dari Unit Perkamusan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengongsikan mengenai perkara itu, ketika memfasilitatorkan Bengkel Pengenalan 7 Dialek, yang diadakan di Perpustakaan DBP, Daerah Temburong.

Bengkel yang julung kalinya diadakan ini, merupakan antara usaha DBP untuk melestarikan dialek-dialek tempatan, berobjektif untuk membuka minda masyarakat umum akan kepentingan penggunaan dan pelestarian bahasa / dialek.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk merealisasikan peranan DBP dalam membina dan mengembangkan bahasa juga sastera Melayu dan menanamkan semangat generasi baharu dalam pelestarian bahasa / dialek tujuh puak jati, di negara ini.

Secara mekanisme, bengkel seumpamanya juga akan turut dilaksanakan secara bertahap atau mengikut jadual yang ditetapkan dari semasa ke semasa, di mana tahap kedua bengkel berkenaan akan diadakan pada Musim Cuti Persekolahan 2021.

Antara agenda bengkel ialah pengenalan linguistik tujuh puak, disampaikan oleh Dayang Hajah Norati dan sesi bersama Narasumber, iaitu 'Mayitah bakuapak Kedayan' oleh Awang Tuah bin Kunal dan 'Do tau pebala bang bala tau' oleh Dayang Noriah binti Ngilau bagi menyebut Leksikal Dialek Kedayan atau Murut, seterusnya membina ayat berdasarkan gambar.

Para peserta bengkel turut diberikan Buku Mini Panduan Bahasa Melayu Dialek 7 Puak, yang merupakan buku mini, hasil inisiatif Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP untuk memperkenalkan penggunaan dialek yang terdapat di Brunei Darussalam.

Buku tersebut mengandungi leksikal umum dialek penutur ketujuh-tujuh puak jati di negara ini, selain itu juga, terdapat kosa kata yang diketengahkan, antaranya ialah kata bilangan, nama-nama anggota badan dan kata-kata umum.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 9/26/2020 2:40 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 9/26/2020 2:40 PM by Nisbah Binti Hj Merusin