Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pupuk Budaya Membaca, Kreativiti Bercerita Pelajar

Pupuk budaya membaca, kreativiti bercerita pelajar 2.JPG

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Isnin, 5 Oktober. - Kedua-dua peserta dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah masing-masing dinobatkan sebagai juara pada Pertandingan Mari Bercerita Peringkat Akhir 2020 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan, yang berlangsung pagi tadi di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dayang Nayla Raeesa binti Haji Norzaidi yang membawakan tajuk ceritanya 'Khaulah Pahlawan Islam Wanita' dan Awang Muhammad Zarif Irfan bin Haji Awang Muliadi dengan tajuk ceritanya 'The Lion and The Mouse' masing-masing dinobatkan sebagai juara pada Pertandingan Mari Bercerita - Cerita Teladan 2020 bagi Kategori 'A' (bahasa Melayu) dan bagi Kategori 'B' (bahasa Inggeris).

Sementara menduduki tempat kedua dan ketiga bagi Kategori 'A' (bahasa Melayu) masing-masing disandang oleh peserta dari Sekolah Arab Rimba, iaitu Awang Muhammad Azhan Fikri bin Nasrul Muhaimin dengan tajuk ceritanya 'Sultan Muhammad Al-Fateh' dan Awang Muhd. Ilham Haqiqie bin Abdullah Muhd. Kelali dengan ceritanya 'Ihdina - Membimbing Ke Jalan Yang Benar'.

Naib johan bagi Kategori 'B' (bahasa Inggeris) pula disandang oleh Awang Muhammad Aiman Asyraf bin Haji Hazman dari Sekolah Arab Rimba dengan membawakan tajuk ceritanya 'The Unseen', dan berada di tempat ketiga ialah Dayang Siti Nurunnajihah binti Haji Yahmiruddin Shah dari Ma'had Islam Brunei, Tutong dengan tajuk ceritanya 'The Rabbit and The Turtle'.

Manakala, para penerima sagu hati bagi Kategori 'A' dan Kategori 'B' masing-masing jatuh kepada peserta dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Charlene Chiew Qiao En dengan tajuk ceritanya 'Kura-Kura Yang Terbang' dan peserta dari Ma'had Islam Brunei, Tutong, Dayang Nur Aesya Alanna binti Azrol dengan tajuknya 'The Test of The Three Disabilities Men'.

Peraduan Mari Bercerita yang diadakan sejak tahun 1983 ini antara lain bertujuan untuk memupuk semangat membaca, sekali gus memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, dan menjadikan cerita sebagai sumber imaginasi, inspirasi bagi menjana kreativiti semasa menyampaikan cerita, di samping memberikan latihan kepada kanak-kanak supaya berani bercakap di hadapan khalayak ramai.

Pertandingan pada tahun ini berunsurkan kepada cerita teladan, dan dikhususkan untuk kanak-kanak yang berumur antara lapan hingga 12 tahun, yang terdiri daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan merupakan ahli-ahli perpustakaan DBP.

Para pemenang pertandingan bagi kedua-dua kategori tersebut masing-masing menerima wang tunai berjumlah BND300; BND200; BND100; langganan setahun Majalah Mekar dan Naindung; sijil penyertaan; dan hadiah sagu hati berupa hamper peralatan sekolah.

Selain itu, hadiah pertandingan juga turut dijayakan dengan sumbangan daripada beberapa buah syarikat dan institusi di negara ini, iaitu ITIS Wescot Technology Sdn. Bhd.; The Coffee Bean and Tea Leaf; Sabli Industries Sdn. Bhd.; dan Ezy Printing Services and Trading Co. Sdn. Bhd.

Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/6/2020 10:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/6/2020 10:20 AM by Nisbah Binti Hj Merusin