Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

DBP Anjur Pertandingan Membuat Video Iklan Pendek

Oleh : Haniza Abdul Latif / Infografik : Ihsan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Oktober. - Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan pusat untuk orang ramai mencari dan mendapatkan maklumat dan merujuk bahan. Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk membaca dan meminjam buku secara percuma.

Sehubungan itu, Perpustakaan DBP akan menganjurkan Pertandingan Membuat Video Iklan Pendek Mengenai Membaca.

Pertandingan tersebut adalah salah satu usaha untuk menggalakkan dan mendekatkan orang ramai dengan perpustakaan, terutama sekali bagi golongan kanak-kanak dan muda-mudi, tidak ketinggalan juga bagi golongan dewasa, di samping untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca dan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Brunei.

Antara terma dan syarat pertandingan ialah ia dibukakan kepada warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam; setiap penyertaan hendaklah terdiri daripada ahli perpustakaan; video yang dihantar akan menjadi hak milik DBP, dan DBP berhak untuk memaparkan melalui media, TV dan sebagainya; semua penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup tidak akan dilayan; peserta boleh menghantar lebih daripada satu video, tetapi hanya satu video yang terbaik akan dipilih untuk layak memenangi hadiah; tempoh video hendaklah tidak melebihi dua minit; dan video-video yang dihantar akan dimuat naik ke media sosial Perpustakaan DBP di '@dbplibrarybsb' bagi pengundian 'likes'.

Pengisian video hendaklah berkaitan dengan membaca, aktiviti membaca, amalan membaca atau kepentingan membaca dengan kreatif, menarik dan mempunyai mesej bermakna untuk disampaikan, di samping boleh dilakonkan melalui senario atau penceritaan.

Selain itu, video iklan juga hendaklah menjadi tarikan kepada semua peringkat umur dan format video hendaklah yang disokong oleh media sosial, seperti MPEG4 dan MP4.

Kriteria penilaian video adalah berdasarkan kreativiti dalam memaparkan tema video iklan yang sesuai dengan keterangan yang telah dijelaskan dan penyampaian video mempunyai mesej bermakna untuk dinilai penganjur.

Dialog bahasa hendaklah dalam bahasa Melayu dan penilaian pertandingan dinilai oleh hakim yang dilantik sebanyak 70 peratus dan melalui penilaian 'likes' sebanyak 30 peratus. Video-video akan dimuat naik ke media sosial yang dinilai oleh orang ramai melalui jumlah 'likes' pada video tersebut.

Penyertaan bolehlah dihantar melalui e-mel ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn' dengan mengisi maklumat yang lengkap, iaitu nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, e-mel dan Subjek: Pertandingan Membuat Video Mengenai Membaca.

Bagi sebarang pertanyaan, hubungi talian +673 2235501 sambungan 504 atau melalui Hotline +673 8266880 atau e-mel ke 'perpustakaan.bsb@dbp.gov.bn'.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 Disember 2020, jam 11.59 malam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/15/2020 9:56 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/15/2020 9:56 AM by Nisbah Binti Hj Merusin