Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bengkel Bimbing Juruacara Berketerampilan

Bengkel bimbing juruacara berketerampilan 2.JPG

Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Lazimnya, sesebuah institusi dan organisasi akan mengadakan apa sahaja jenis majlis atau acara yang diadakan di jabatan masing-masing. Dalam mengendalikan majlis atau acara, pengacara atau juruacara memainkan peranan penting bagi melancarkan majlis yang diadakan.

Kelancaran sesebuah majlis atau acara itu biasanya bergantung kepada pengacara atau juruacara dalam pengendalian majlis yang dianjurkan. Kekurangan dan ketidaklancaran sesuatu majlis atau acara yang berlangsung mencerminkan ketidaktelitian pihak penganjur dalam menyelaraskan serta menguruskan majlis yang diadakan.

Perkara ini memberi kesan negatif terhadap imej sesebuah institusi, organisasi atau jabatan.

Sehubungan itu, unit HRD dan Latihan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini mengadakan Bengkel Pengacara atau Juruacara Majlis yang bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas.

Seramai 45 pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya menyertai bengkel yang merupakan satu bimbingan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan kakitangan bagi melahirkan pengacara atau juruacara yang berketerampilan.

Bengkel selama dua hari itu dibimbing oleh mantan Pengarang Kanan di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP Brunei, Dayang Hajah Shaharah binti Dato Paduka Haji Abd Wahab.

Matlamat bengkel ini diadakan bagi melahirkan pengacara yang serba boleh termasuk dalam teknik mengacarakan majlis serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan pegawai dan kakitangan sebagai pengacara atau juruacara majlis yang boleh diketengahkan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan di bawah KKBS.

Sementara itu, objektif bengkel diadakan adalah bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan dalam pengendalian mengacara dengan lebih berkesan dan bersistematik serta mewujudkan dan mengembangkan potensi diri pegawai dan kakitangan yang ingin menjadi pengacara atau juruacara dalam majlis.

Selain itu, ia bertujuan bagi membimbing pegawai dan kakitangan dalam penyediaan teks atau skrip pengacara atau juruacara serta memberikan pendedahan kepada pengendali acara untuk bersedia menjadi pengacara atau juruacara yang berkesan.

Di samping, untuk memberi kefahaman mendalam cara melaksanakan tugas mengacara majlis dengan sempurna mengikut amalan protokol semasa dan meningkatkan imej dan keyakinan diri pegawai dan kakitangan dalam berkomunikasi di hadapan khalayak ramai sebagai pengacara atau juruacara majlis.

Diharap melalui bengkel ini para peserta akan memperoleh pengetahuan dan pemahaman dalam penyediaan skrip serta pelapis di jabatan masing-masing untuk meneruskan bidang pengacaraan di samping membimbing dan mengasah bakat para peserta dalam bidang pengacaraan.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 10/28/2020 10:27 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 10/28/2020 10:27 AM by Nisbah Binti Hj Merusin