Sejarah dan Peranan
Bahagian Seni Lukis telah ada sejak ditubuhkan Bahagian Bahasa dan Pustaka di
bawah Jabatan Pelajaran dalam tahun 1962. Di awal penubuhan Bahagian Bahasa dan Pustaka
ini, senilukis sudah mengambil peranan yang besar dan berkesan dalam menyampaikan
tujuan dan fungsi jabatan dan hasrat kerajaan melalui poster, billboard, risalah
dan stiker. Dengan tersebarnya lukisan-lukisan poster dan pelekat-pelekat dan lain-lain
yang dihasilkan oleh Bahagian Seni Lukis, jabatan ini mula dikenali oleh segenap
lapisan masyarakat baik di pihak kerajaan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang
tertentu. Bahagian ini, disamping melaksanakan kerja-kerja rasmi jabatan, juga membuat
kerja-kerja yang bersangkut-paut dengan seni lukis dari jabatan-jabatan lain.
Diawal penubuhan, bahagian ini mempunyai 2 orang pelukis iaitu seorang berjawatan
Pelukis dan seorang berjawatan Penolong Pelukis. Awal tahun 60an apa jua kegiatan
dan projek jabatan yang bahagian ini dilibatkan adalah berupa awalan perlaksanaan
yang belum pernah dibuat oleh mana-mana Jabatan dan sebagainya. Seperti mendaulatkan
kembali Bahasa Melayu di mana kegiatan tersebut menekankan kepada seluruh rakyat
dan penduduk untuk menyokong dan menggunakan Bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk
mengarahkan semua jabatan kerajaan dan swasta menggunakan Bahasa Melayu dalam surat-menyurat
dan sebagainya. Dengan menyebarkan poster-poster dan memasang billboard-billboard
yang lukisan dan pesan-pesan katanya yang dinamik ternyata dapat membantu dan mendapat
perhatian dan memberi kesan.
Begitu juga dalam bidang pendidikan, jabatan ini juga sebagai penghulu di negeri
ini dalam menyediakan penerbitan buku-buku bacaan sekolah yang sesuai dengan keperluan
suasana kita, kemudian diikuti pula dengan penerbitan majalah-majalah dan rekabentuk
stem yang kesemuanya itu dilahirkan dengan melibatkan Bahagian Seni Lukis yang memberi
khidmat semaksima yang boleh walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Di awal perjalanan DBP, bahagian ini juga, walaupun dengan seorang pegawai, telah
melaksanakan tugas-tugas lain yang diarahkan seperti membuat penyelidikan budaya
dan adat istiadat, melakukan kerja juru gambar dan membuat rakaman syair-syair lama
dan lain-lain lagi disamping mengusahakan bahan seni bagi penerbitan 3 buah majalah
iaitu Mekar, Bahana, Beriga dan buku-buku bacaan. Bahagian ini juga menerima kerja-kerja
dari jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan yang ada kaitannya dengan fungsi DBP.
Pada bulan Ogos 1968, bahagian ini meneruskan tugas-tugas yang biasa dilaksanakan
dan meningkatkan lagi kegiatan untuk berperanan terhadap perkembangan seni lukis
di negara ini yang dirasakan masih tertinggal jauh baik dari segi nilai budaya, falsafah,
estitika dan teknologinya. Atas restu Pengarah DBP, 2 orang pegawai bahagian ini
dan dibantu oleh beberapa orang lainnya telah membina papan-papan pameran secara
kekal dan serbaguna diruang lapang tingkat bawah bangunan DBP yang dapat dimanafaatkan
dalam segala kegiatan bukan sahaja untuk jabatan malah oleh jabatan-jabatan lain
dan orang ramai hingga masa ini.
Bahagian ini telah membuat inisiatif mengajak bersama beberapa orang yang minat dalam
seni lukis untuk ikut serta outing painting (melukis diluar) setiap hujung minggu
ke tempat-tempat yang mana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh pelukis Brunei
dan sebelumnya dan juga untuk menambahkan hasil karya dan keyakinan diri pelukis
di samping untuk merakam di atas kanvas panorama negara Brunei yang akan berubah
mengikut kemajuan zaman. Hasil dari kegiatan ini pameran seni lukis telah diadakan.
Hal ini mendapat perhatian dari banyak golongan, antaranya dari Jawatankuasa Tertinggi
sambutan Hari Keputeraan DYMM di mana tahun berikutnya menyerahkan kepada bahagian
ini untuk mengendalikan peraduan dan pameran seni lukis sempena hari Keputeraan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia. Disaat awal bahagian ini menjadi penganjur peraduan dan pameran
seni lukis, telah dapat mengubah keadaan dan corak rupa seni lukis di Brunei ke tahap
yang lebih baik dan universal. Pada tahun 1970, Jabatan Setiausaha Kerajaan telah
memberi arahan untuk bahagian ini mengendalikan pameran seni lukis yang bertema sejarah
untuk acara sempena pertukaran Bandar Brunei menjadi Bandar Seri Begawan. Dengan
menyertakan beberapa orang pelukis lain bahagian ini telah berjaya mengadakan pameran
seni lukis tersebut dengan karya-karya yang bercorak sejarah dan budaya.
Banyak inisiatif kesedaran sendiri yang dilaksanakan oleh bahagian ini dalam berperanan
untuk menunjang keperluan kesenian dan budaya bagi sesebuah negara, antaranya seperti
pameran terbuka kerana mengutip Derma Tabung Pembinaan Stadium diadakan setiap hujung
minggu sepanjang tahun 1972 dan 1973. Kegiatan-kegiatan seni lukis lainnya yang digerakkan
dari bahagian ini telah melahirkan Persatuan Pelukis Brunei.
Dalam melaksanakan tugas seharian bahagian ini berusaha untuk memperbaiki perkhidmatannya
ke tahap yang optima, terutama dalam menyediakan bahan untuk penerbitan buku dan
majalah iaitu dalam bidang ilustrasi, rekabentuk dna perwajahan muka surat, begitu
juga ketetapan jangka masa terbit. Boleh dikatakan hampir semua kegiatan dan projek
dari bahagian-bahagian lain melibatkan bahagian ini. Kekurangan kakitangan menjadikan
pelukis bahagian ini menghadapi dua atau tiga pekerjaan dalam satu masa. Kementerian-kementerian
dan jabatan-jabatan lain juga menaruh kepercayaan ke bahagian ini bagi bantuan kerja-kerja
rekabentuk dan sebagainya menjadikan bahagian ini menghadapi kerja-kerja yang berterusan.
Bahagian ini diperlengkapkan dengan alat-alat dan mesin yang diperlukan untuk membantu
kelicinan sebahagian kerja-kerja tertentu. Arus perubahan cara perlaksanaan kerja
mengikut kemajuan pencapaian teknologi memberi kesan dan pengaruh ke bahagian itu.
Dalam perlaksanaan pra-penerbitan buku, komputer telah mengubah sebahagian besar
cara konvensional, dari rekabentuk perwajahan cara manual menjadi Computer Desk-top
Publisher yang mana memberi kemudahan dalam beberapa perkara. Bahagian ini telah
dilengkapi dengan 4 buah komputer untuk kerja persediaan penerbitan majalah Mekar,
Bahana, Beriga dan Pangsura serta kerja kreatif yang lain. Bahagian ini masih lagi
berkehendakkan tambahan komputer untuk melicinkan perjalanan kerja yang bersangkutan
di mana selama ini kerja-kerja tersebut terpaksa bergilir-gilir satu dengan yang
lain. Kerja-kerja pengilustrian dan rekabentuk lainnya masih lagi dilakukan seperti
biasa, hitung panjang dalam setahun sebanyak 779 buah ilustrasi dan rekabentuk dihasilkan
di bahagian ini.
Setiap pegawai dan kakitangan di bahagian ini diberi peluang untuk menambahkan kemahiran
dan pengetahuan dengan mengikuti kursus di dalam dan di luar negeri yang bersangkutan
dengan tugas juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah ke institut
pengajian tinggi di luar negeri. Setakat ini, terdapat 5 orang pegawai bahagian ini
yang memiliki ijazah BA (Hon) dalam bidang
Seni lukis / Grafik / Communication Media. Seorang daripadanya juga telah memiliki
Post Graduate Diploma. Terdapat 15 orang pegawai dan kakitangan di bahagian ini dan
seorang kerani. Pada bulan Ogos 1992 bahagian seni foto digabungkan dengan bahagian
ini yang mengandungi 5 orang pegawai dan menjadikan keseluruhan pegawai dan kakitangan
bahagian ini seramai 21 orang.
Dengan berkembang dan meningkatnya keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi yang
secara langsung dapat menembusi pejabat-pejabat, rumah-rumah, sekolah-sekolah dan
sebagainya, kemungkinan di masa akan datang kedudukan penerbitan buku akan menjadi
kelas kedua sebagai alat maklumat dan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Fungsi
jabatan ini dalam mengembangkan Bahasa Melayu melalui bahan bacaan mungkin dan jelas
dapat dimenafaatjan melalui perkembangan teknologi baru ini, dari media cetak kepada
media elektronik. Kemungkinan bahagian ini akan berperanan seumpama production house
yang mengendalikan bahan bukan saja teks dan visual tetapi juga sound.
Bahagian Seni Lukis dan Rekabentuk telah mengendalikan bengkel, peraduan dan pameran
ilustrasi, pameran seni lukis dan pameran fotografi. Diantara aktiviti tersebut ialah: