Diari KKBS Sejarah Ringkas Visi & Misi Carta Organisasi Bahagian-Bahagian Jabatan-Jabatan

 

 

Terbaru

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

DASAR  SUKAN  NEGARA

 

 

MUKADIMAH

  • Dasar Sukan Negara ini merupakan kenyataan ringkas akan tujuan, matlamat serta strategi dan cita-cita Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berhubung dengan sukan yang merangkumi kedua-dua sektor program dan aktiviti yang biasa dirujukkan sebagai (a) “Sukan Untuk Masyarakat”  (SUM) dan (b) “Sukan Prestasi Tinggi” (SPT).
  • Dasar ini digubal atas beberapa sebab-sebab antaranya:

1.    Sukan dan sebagainya merupakan sebahagian aktiviti hidup rakyat dan penduduk yang memberi manfaat kepada individu, masyarakat dan perhubungan antarabangsa;

2. Sukan perlu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya sepertimana keperluan asasi yang lain, umpamanya, pendidikan sebagai kegiatan pembangunan negara - antara lain, membina sebuah masyarakat yang berdisiplin, cergas, sihat dan BERDIKARI;

3. Pembangunan sukan dan kemajuan sukan adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan dengan sektor bukan Kerajaan yang terdiri daripada pertubuhan / persatuan belia dan sukan, bergerak secara sukarela dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu diselaraskan; dan

4.  Hasrat untuk memajukan lagi sukan tanahair melalui penyertaan yang seluas-luasnya dan mempertingkat kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

     Kembali Ke Muka Atas         

 

   LATAR BELAKANG

  • Aktiviti sukan dan rekreasi telah sekian lama menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat dan penduduk negara ini dan berkembang hingga menghasilkan kepimpinan dan organisasi sukarela dalam tahun-tahun lima puluhan. (Persatuan Olahraga Amatur Brunei ditubuhkan pada tahun 1953 dan Persatuan Bolasepak Amatur Brunei pada tahun 1956). (3) Kini kira-kira 32 jenis sukan mempunyai Persatuan Sukan Kebangsaan dan lebih daripada 150 pertubuhan / kelab sukan dan belia menjalankan aktiviti sukan. Majlis Sukan Brunei yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 dan dibubarkan pada tahun 1987 bertujuan menggabung dan menyelaraskan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan. Peranannya diambil alih oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 1984. Majlis ini menjadi anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan mewakili Negara dalam temasya / kejohanan anjuran / naungannya.

  • Aktiviti sukan di sekolah dan institusi pelajaran tinggi dirancang dan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan, termasuk persediaan dan penyertaan di kejohanan peringkat ASEAN. Kementerian ini sedang merancang dan melaksanakan beberapa program pembangunan yang positif untuk melahirkan kumpulan atlit yang bermutu dan supaya dapat diselaraskan dengan program pembangunan sukan negara yang berasaskan kesinambungan.

  • Jabatan-jabatan Kerajaan, Gedung-gedung Perniagaan dan Kelab-kelab Belia dan Sukan mengadakan berbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk faedah pegawai dan kakitangan dan ahli kelab.

  • Di pihak Kerajaan usaha memimpin dan menyelaras aktiviti sukan bermula secara rasmi pada tahun 1974 (4) dengan penubuhan Jabatan Kebajikan, Belia dan Sukan dengan tugas seperti berikut:-

  1. Mengawasi, mengatur langkah-langkah mengelola, mentadbir dan melaksanakan rancangan-rancangan mengenai dengan kebajikan, belia dan sukan;

  2. Merancang dan memajukan sukan secara terpimpin dan terkawal dengan tujuan supaya dapat membentuk masyarakat yang kukuh dan bersatu padu, kukuh bukan saja dari segi tubuh badan ahli-ahli masyarakat itu tetapi juga dari segi pendirian dan semangat mereka sesuai dengan kehendak-kehendak masyarakat dan Negara Brunei Darussalam.

  • Pada tahun 1984 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah ditubuhkan untuk memperkukuhkan lagi kepimpinan, pelaksanaan dasar penyelarasan program.

  • Pada keseluruhannya penyertaan masyarakat dalam sukan dan rekreasi semakin bertambah melalui berbagai-bagai rancangan dan kemudahan sukan yang disediakan / dalam proses pembinaan / perancangan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Di sektor "Sukan Untuk Masyarakat" banyak lagi yang perlu diungkayahkan bagi memperluaskan penyertaan yang lebih aktif dan menghasilkan satu tapak atau landasan yang kukuh ke arah kecemerlangan. Di sektor "Sukan Prestasi Tinggi", walaupun beberapa kemajuan telah dicapai tetapi jika dibandingkan dengan negara­negara di rantau ASEAN kemampuan atlit dan pasukan negara amat terhad dan jauh ketinggalan.

  • Antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan kelemahan sukan keseluruhannya ialah:-

1. Ketiadaan tapak yang kukuh disebabkan masih kekurangan penyertaan /penglibatan yang aktif di kalangan masyarakat dan penaburan (distribution) kemudahan-kemudahan sukan, terutama bagi sektor "sukan untuk masyarakat”;

2. Kurang keberkesanan kepimpinan dan kelemahan pengurusan terutama di kalangan pertubuhan / persatuan sukan kebangsaan yang disebabkan, antara lain, kurang jelas (bertindih) peranan dan tanggungjawab dan khidmat yang tidak sepenuh masa;

3. Kelemahan program kejurulatihan dari segi bilangan jurulatih, kelayakan / pengalaman dan bertugas secara sambilan.

4. Kekurangan perancangan pembangunan yang saintifik tanpa kesinambungan antara satu sektor program dengan yang lain, termasuk perancangan tiap-tiap jenis sukan, dan tanpa penyelarasan yang berkesan; dan

5. Kekurangan sumber kewangan di kalangan pertubuhan / persatuan sukan kebangsaan untuk pengurusan dan pelaksanaan program tanpa usaha mendapatkannya sendiri.

 

Notes

(1) "Sukan Untuk Masyarakat", ringkasnya (SUM) rnerujuk kepada aktiviti rekreasi fizikal dan sukan yang berlaku secara spontan atau diuruskan dengan tujuan menggalakkan penyertaan yang lebih luas dan bukan semata-mata untuk pertandingan.

(2) "Sukan Prestasi Tinggi", ringkasnya (SPT) merujuk kepada sukan pertandingan yang diuruskan mengikut peraturan-peraturan dan syarat-syarat Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dan Persatuan Sukan Kebangsaan bagi menentukan pemenang.

(3) Persatuan yang mengawal standard, syarat-syarat permainan dan pertandingan dan bergabung dengan Persekutuan Sukan Antarabangsa.

(4) Surat Keliling Pejabat Setiausaha Kerajaan Bilangan 26/1974.

Kembali ke Muka Atas     

 

  FALSAFAH SUKAN

  • Untuk membentuk sebuah masyarakat yang cergas, sihat dan kukuh dari segi fizikal dan mental - bersemangat dan berpendirian positif dalam hidup, berdisiplin dan BERDIKARI melalui penyertaan semua lapisan masyarakat secara aktif dan sukarela dalam semua aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan fizikal dengan berpegang kepada konsep kenegaraan, iaitu "Melayu Islam Beraja".

 

  • Sukan merupakan satu aktiviti yang paling berkesan dan mempunyai potensi menolong seseorang itu memperolehi sebanyak-banyak keseronokan dan kepuasan dalam hidup, mencapai nilai terpuji hidup (quality of life) dan keperluan asas manusia.

 

  • Sukan juga adalah satu penglibatan pembangunan sosial melalui penyertaan beramai-ramai sama ada ahli keluarga, sahabat handai, masyarakat setempat dan masyarakat asing - semuanya menggalakkan pergaulan, persaingan yang sihat dan mengeratkan perhubungan sosial serta melahirkan masyarakat yang tidak mengasingkan diri.

 

  • Keperluan asas manusia merangkumi berbagai-bagai faktor daripada keperluan fiziologi kepada kepuasan mutlak diri.

 

  • Kemanfaatan dan sumbangan sukan kepada individu, masyarakat dan dunia antarabangsa dapat dirumuskan seperti berikut: -

  1. Di Peringkat Individu,

  1. Peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal.

  1. Pembentukan sahsiah (keperibadian) yang murni, kepercayaan serta bergantung kepada diri sendiri (berdikari) dan pendirian yang positif;

  1. Penggunaan masa lapang yang bermakna dan bermanfaat;

  1. Kekurangan tekanan (stress) hidup moden;

  1. Semangat bergaul dan bersahabat antara individu;

  1. Peningkatan kemahiran melalui latihan dan persaingan; dan

  1. Peluang memenuhi keperluan asas manusia mencapai kepuasan mutlak individu.

 

  1. Di Peringkat Masyarakat,

  1. Menggalakkan pembinaan kualiti mental masyarakat seperti semangat berdikari dan berdisiplin;

  1. Membina masyarakat yang sihat dan cergas dari segi fizikal, mental dan spiritual. Ini akan mendorongkan peningkatan produktiviti negara;

  1. Menimbulkan suasana untuk memupuk perhubungan dan penyatuan masyarakat di kalangan rakyat dan penduduk berbagai keturunan dan status sosial dan menghindarkan hidup berpuak dalam masyarakat;

  1. Mencegah jenayah dan aktiviti liar melalui penggunaan masa lapang yang berfaedah dan sebagainya; dan

  1. Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara melalui industri sukan, rekreasi dan pelancongan.

 

  1. Di peringkat Antarabangsa,

  1. Mengeratkan hubungan muhibah serta persefahaman antara sebuah negara dengan negara lain ke arah keamanan dan kesejahteraan dunia; dan

  1. Mempertingkatkan mutu pencapaian individu dan kecemerlangan melalui pertandingan antarabangsa yang menghasilkan kebanggaan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Kembali ke Muka Atas     

 

   TUJUAN SUKAN NEGARA

Tujuan sukan negara ialah: ­

  • Untuk menggalak dan mewujudkan peluang dan kemudahan mempertingkatkan kemahiran dan kecemerlangan individu dalam sukan di semua peringkat, termasuk antarabangsa;

  • Untuk menggalakkan semangat persaingan yang sihat dan muhibah melalui sukan di kalangan individu, kumpulan masyarakat dan antarabangsa; dan

  • Untuk menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara melalui penyertaan dan sumbangan di kalangan belia dan sukan.

Kembali ke Muka Atas     

 

   RANCANGAN TINDAKAN STRATEGI

Pembangunan Sukan

  • Pembangunan sukan negara bagi kedua-dua sektor aktiviti hendaklah dilaksanakan serentak secara kesinambungan (continuum), terselaras dan bersepadu, bukan sahaja antara dua sektor sukan tetapi juga antara satu program dengan program yang lain dalam sektor berkenaan seperti dicontohkan di bawah: ­

  1. Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) yang meliputi tajuk-tajuk seperti (a) kepimpinan, (b) pengurusan, dan (c) sumber-sumber bagi tempoh lima tahun hendaklah disediakan untuk kedua-dua sektor aktiviti dan tiap-tiap program.

  2.  

  3. Sektor "Sukan Untuk Masyarakat" amatlah penting dan hendaklah diberi keutamaan dan penekanan yang lebih daripada sektor "Sukan Prestasi Tinggi". Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penyertaan yang aktif di kalangan masyarakat dan untuk mengukuhkan asas atau tapak ke arah melahirkan kemahiran bagi mencapai prestasi yang tinggi. Sebahagian besar daripada tujuan sukan negara akan tercapai melalui sektor "Sukan Untuk Masyarakat".

  4.  

  5. Bagi pembangunan sektor "Sukan Prestasi Tinggi" yang mengandungi tiga program yang terkemuka, bakat (tidak keseluruhannya), pelapis dan elit, adalah wajar semua jenis sukan yang berjumlah lebih daripada 30 dimajukan serentak tetapi hanya beberapa jenis sukan sahaja diutamakan. Pemilihannya hendaklah berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu, seperti mutu semasa dan potensi, persediaan dan perancangan dan multi pengurusan persatuan termasuk teknikal.

  6.  

  7. Penyertaan atlit dan pasukan negara di kejohanan anjuran persekutuan sukan, seperti Sukan SEA hendaklah dihadkan kepada sukan yang boleh memperlihatkan mutu walaupun pendedahan di kalangan antarabangsa terus digalakkan.

 

Kepimpinan

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

  • Antara rancangan tindakan strategi yang akan diutamakan ialah kepimpinan yang melibatkan struktur organisasi, pembahagian peranan, kuasa dan tanggungjawab di pihak Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukan.

  • Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus memimpin, menggalak dan membantu pembangunan dan perkembangan sukan ­ bertanggungjawab dalam perkara dasar dan penyelarasan.

  • Sebuah undang-undang mengenai sukan, iaitu "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" adalah dicadangkan. Antara perkara-perkara terkemuka ialah: ­
  1. Peranan, kuasa dan tanggungjawab Menteri;

  1. Penubuhan sebuah Jabatan Sukan dan Rekreasi; Penubuhan Majlis Penasihat Kebangsaan Sukan; dan

  1. Penubuhan sebuah Yayasan Sukan Kebangsaan.

Kementerian Pendidikan.

  • Kementerian Pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tidak kurang penting untuk pembangunan sukan negara (a) dasar pelajaran negara dapat memberi sumbangan dan penggalakkan kepada dasar sukan negara, (b) murid-murid sekolah dan penuntut institusi pelajaran tinggi merupakan kumpulan sasaran yang besar dan penting bagi program di kedua-dua sektor sukan dan (c) guru-guru merupakan sumber jurulatih dan pegawai yang penting.

  • Antara sumbangan Kementerian Pendidikan ialah: ­

  1. Penggubalan kurikulum persekolahan yang menggalakkan perkembangan aktiviti sukan dan pendidikan jasmani;

  1. Penggubalan kurikulum latihan guru yang menggalakan perkembangan pendidikan jasmani dan kejurulatihan;

  1. Perancangan dan pelaksanaan program mencungkil bakat dan potensi ke arah kecemerlangan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan sukan negara;

  1. Penubuhan "Pusat Cemerlang" bagi beberapa jenis sukan tertentu;

  1. Persediaan menubuhkan "Sekolah Sukan"; dan

  1. Penubuhan sebuah majlis sukan sekolah-sekolah bagi memperkemaskan pengurusan dan perlaksanaan program termasuk pertandingan di dalam dan di luar negeri.

  • Kementerian dan Jabatan Kerajaan hendaklah mempertingkatkan lagi usaha memajukan sukan dan rekreasi di kalangan pegawai dan kakitangan melalui program yang berperancangan. Sebuah majlis penyelaras dicadang dan ditubuhkan.

Pertubuhan Sukan

  • Keberkesanan dasar sukan negara dan pelaksanaan segala program sukan, sebahagian besarnya, terletak ke atas persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Selain daripada itu, pertubuhan dan kelab belia/sukan turut bertanggungjawab untuk mempertingkatkan penyertaan.

  • Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sebagai anggota Interna­tional Olympic Committee dan memperjuangkan "semangat olimpik" dan menyelaraskan persatuan sukan kebangsaan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk membangun dan memajukan sukan terutama ke arah kecemerlangan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya majlis ini berfungsi lebih aktif menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Penubuhan pertubuhan sukan yang boleh memberi khidmat sokongan seperti persatuan sains sukan dan persatuan jurulatih clan sebagainya hendaklah digalakkan.

Pengurusan

  • Rancangan tindakan strategi hendaklah mewujudkan "professionalism" dan kecekapan dalam bidang pengurusan di kalangan sektor bukan Kerajaan seperti Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Antara rancangan yang dicadangkan di bawah satu skim bantuan pengurusan sukan ialah:

  1. Menubuhkan sebuah unit khas di Kementerian atau di Jabatan untuk menyelaras perkara-perkara pengurusan dan teknikal dengan persatuan-persatuan dan pertubuhan sukan

  1. Perlantikan seorang setiausaha kerja sepenuh masa untuk kerja-kerja pentadbiran dan perancangan (sebagai permulaan beberapa persatuan sukan yang tertentu sahaja akan terlibat).

  1. Menempatkan beberapa persatuan sukan kebangsaan secara satu kumpulan di sebuah "Balai Sukan" atau "Sport House" yang menggunakan perkhidmatan guna sama kakitangan, alat kelengkapan pejabat, perkhidmatan penerbitan, perpustakaan dan lain-lain.

Kejurulatihan

  • Masalah yang mendesak dalam pembangunan sukan tanahair ialah kejurulatihan, baik dari segi jumlah mahupun kelayakan dan pengalaman dan sistem persijilan yang seragam. Maka hendaklah ditubuhkan sebuah Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan anjuran Kerajaan untuk menyelaras dan membantu persatuan-persatuan sukan. Lembaga hendaklah mewujudkan satu kurikulum kejurulatihan dan skim persijilan yang diiktiraf bersama oleh Kerajaan dan persatuan sukan kebangsaan ke arah menjadikan kejurulatihan sebagai satu profesyen.

Kembali ke Muka Atas     

 

Kemudahan Sukan

  • Berbagai-bagai kemudahan sukan telah disediakan dan dirancang oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian/]abatan, seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan. Kemudahan-kemudahan ini pada keseluruhannya dapat memenuhi kehendak semasa. Walau bagaimanapun terdapat kelemahan dari segi penyelarasan penggunaan kemudahan-kemudahan tersebut yang menimbulkan keadaan penggunaan yang tidak maksima. Taburan (distribution) dan penyelenggaraan kurang menggalakkan kemajuan sukan terutama di sektor "Sukan Untuk Masyarakat".

  • Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) untuk tempoh 20 tahun berkenaan kemudahan sukan hendaklah disediakan berpandukan kepada strategi kedua-dua sektor aktiviti sukan, serta merangkumkan rancangan yang sedia ada, yang mana sesuai.

  • Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan hendaklah berperanan sebagai penyelaras bagi rancangan kemudahan sukan di sektor Kerajaan dan di sektor bukan kerajaan. Satu garispandu ke arah penyelarasan penggunaan hendaklah disediakan selepas perbincangan dengan agensi-agensi tuan punya/penyelenggara dan pihak pengguna seperti persatuan sukan kebangsaan.

  • Pihak berkuasa yang merancangkan pembangunan bandar dan desa dan alam sekitar hendaklah memasukkan rancangan kemudahan sukan dan rekreasi mengikut dasar, pawaian, spefikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan berpandukan "blueprint" yang disediakan.

Kewangan

  • Sehingga ini hampir keseluruhan sumber kewangan untuk pembangunan dan kemajuan sukan bergantung kepada sumber Kerajaan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya lama-kelamaan dan setapak demi setapak semua program sukan dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangannya sendiri dan semua program dapat diungkayahkan tanpa masalah kewangan.

Yayasan Sukan

  • Sebuah Yayasan Sukan Negara (National Sports Foundation) dicadang ditubuhkan di bawah "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" sebagai sumber kewangan dan agensi pembangunan ekonomi belia dan sukan. Selain daripada pemberian pelancaran Kerajaan dan derma dan sumbangan daripada sektor swasta, sebahagian besar aset-aset Yayasan akan diperolehi daripada orang ramai, terutama masyarakat belia dan sukan melalui pembelian saham dan sebagainya.

  • Yayasan akan mengambil langkah-langkah menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan belia dan sektor sukan seperti pelaburan, pembuatan (manufacturing) alat-alat sukan dan mengadakan kejohanan antarabangsa yang menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan dan "celebrity".

Penggalakan (Insentif)

  • Usaha-usaha penggalakan kepada atlit, jurulatih dan pegawai hendaklah diperting­katkan kerana ia amat penting untuk menggalakkan kepimpinan dan meningkatkan kecemerlangan. Antara insentif ini, ialah pemberian pelancaran, subsidi tahunan untuk pentadbiran bagi kelab dan persatuan belia dan sukan yang mempunyai program ke arah memajukan "Sukan Untuk Masyarakat", hadiah kemenangan, bantuan perbelanjaan latihan di dalam dan di luar negeri, elaun "tuition", cuti, biasiswa, peluang pekerjaan, anugerah, perlindungan insurans dan sebagainya. Penggalakan ini hendaklah juga untuk pemimpin dan pegawai, termasuk jurulatih. Skim penggalak khas hendaklah juga diwujudkan untuk orang-orang cacat. Pihak sektor bukan Kerajaan, selain daripada menyokong tindakan Kerajaan, perlu juga menawarkan insentif untuk peningkatan mutu sukan di kalangan mereka.

  • Pemansuhan cukai import ke atas alatan sukan dan pertumbuhan industri sukan rekreasi dan pelancongan adalah satu daripada insentif yang akan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan.

Biasiswa

  • Satu skim biasiswa sukan untuk atlit yang berpotensi akan dapat mempertingkatkan kemahiran dan kecemerlangan mereka sambil meneruskan peningkatan bidang akademik. Ia dapat mengikiskan andian bahawa sukan itu satu faktor negatif dan penghalang kepada kemajuan akademik seseorang. Adalah wajar juga diwujudkan satu skim latihan melalui hadiah biasiswa untuk pegawai-pegawai sukan, terutama dari golongan guru-guru untuk mempertingkatkan mutu kejurulatihan dan pengetahuan sukan.

 

   PENUTUP

  • Yang terpenting dalam Dasar Sukan Negara yang dicadangkan ini ialah tujuan dan matlamat dan rancangan tindakan strategi untuk mempastikan pencapaian dan keberkesanan segala dasar itu. Ia dilaksanakan atas sebab bahawa segala kegiatan sukan, baik di sektor "Sukan Untuk Masyarakat" mahupun di sektor "Sukan Prestasi Tinggi" adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan negara dalam konteks membina masyarakat yang bersukan, berdisiplin dan BERDIKARI yang menjadi teras kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

  • Dasar ini ialah untuk semua - melibatkan institusi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat belia dan sukan di berbagai peringkat. Segala pengungkayahan pula merupakan satu persyarikatan atau "partnership" dikalangan ketiga-tiga institusi yang besar ini dan semua pihak di bawah institusi masing-masing. Walau bagaimanapun pada pokok pangkalnya, oleh sebab matlamat mutlak ialah membina masyarakat yang BERSATU DAN BERDIKARI maka kejayaan dasar sukan negara ini bergantung kepada rakyat dan penduduk yang mana secara langsung atau tidak langsung terlibat dengan dasar ini. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus memimpin, menggalak dan membantu sebagai ahli persyarikatan yang bertanggungjawab.