Tema Hari Kebangsaan Tahun 2008
"TUNAS BANGSA"
Menurut tafsiran kamus, kata ‘tunas’ bermakna “tumbuhan muda yang baru timbul (dari tunggul, ketiak daun, buku batang kayu yang terbang, dan sebagainya); bakal cabang (dahan, ranting baru tumbuh); taruk”. (i) Manakala ‘bangsa’ diertikan (a) Kesatuan orang atau kumpulan manusia yang bersamaan asal keturunan, adat, bahasa, dan sejarahnya; (b) Kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara dalam satu ikatan ketatanegaraan dan berpemerintahan sendiri; (c) Istilah Antropologi: Kumpulan manusia yang biasanya terikat kerana kesatuan bahasa dan kebudayaan dalam erti umum dan yang biasanya menempati wilayah tertentu di muka bumi. (ii)
“Tunas Bangsa” dalam konteks sebagai tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan tahun ini bukanlah menurut takrif harfiah (literal) tetapi merujuk kepada dua perlambangan (simbolisme) (iii) seperti berikut:
(a) Mana-mana upaya manusia dalam lengkungan masyarakatnya, melalui keringat, tenaga, dan pemikirannya, bermula dari yang sekecil-kecilnya (baru tumbuh) sehinggalah upaya itu berkembang tegak membesar (akar batang, dahan, ranting dan sebagainya) yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa.
(b) ‘Tunas’ juga ditakrifkan sebagai singkatan dua perkataan iaitu ‘tunak’(iv) dan ‘nasional’ yang secara perlambangan bermaksud “taat setia kepada bangsa”.
Ungkapan tema “Tunas Bangsa” yang ditakrifkan sebagai perlambangan segala upaya dalam kehidupan manusia yang tumpah setianya kepada bangsa seperti takrifan pada 2(a) dan (b), akan bertambah kukuh jika dilandaskan kepada dua asas berbangsa dan bernegara seperti berikut:
(a) “Tanah Yang Subur”
Perlambangan bagi mereka “Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah”. (v)
(b) “Benih Yang Baik”
Perlambangan bagi “Negara Melayu Islam Beraja’. (iv)
Jadinya, “Tunas Bangsa” daripada “Benih Yang Subur” yang tumbuh di atas “Tanah Yang Baik” pada ghalibnya adalah “tunas” yang tumbuh segar yang menghijau, membesar menghasilkan buah ranum untuk santapan bagi pertumbuhan satu bangsa dan negara yang tenteram, makmur, hidup berbaik-baik di kalangan masyarakat antarabangsa, dan “saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur tangan dari luar negeri”.(vii)
Pertumbuhan “Tunas Bangsa” seperti inilah yang cuba dititiberatkan dalam Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-24 Tahun 208 dengan menerapkan pelbagai saranan “tools” yang terdapat pada tema-tema sambutan yang lalu seperti “menghayati” (1985), “membangun” (1987), “mengekalkan” (1991),” “menanai” (1992) “meneguhkan” (1993), “membina” (1998), “mengukuhkan’ (1990, “mempertingkatkan” (1989, 2006), dan “memperkasa” (2002, 2007) agar pertumbuhannya itu selaras dengan aspirasi “nation building”, bukannya “tumbuh lalang” atau “tercantas sebelum berputik”. Demikianlah dalam usia lebih dua dekad menikmati satus negara merdeka lagi berdaulat, antara lain, Kebawah Duli Yang maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan negara Brunei Darussalam bertitah:
"Dalam usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan. Di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan.” (viii)
Kematangan mengakui kelemahan-kelemahan dalam menghadapi cabaran-cabaran pertumbuhan “Tunas Bangsa” memerlukan munasabah diri di samping pro-aktif membuat pembaikan-pembaikan.
Kegiatan-kegiatan yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya cekal dalam “tunas Bangsa” akan mendapat menjamin kesinambungan negara ini sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dengan warga bangsa yang taat setia kepada negara di tengah-tengah dunia yang semakin kompetitif.
(i) Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 2916
(ii) Ibid, ms 224
(iii) Penggunaan simbol untuk melahirkan ( mengungkapkan, menyampaikan dan sebagainya sesuatu konsep, gagasan, pendapat, dan sebgainya (dalam seni, sestera, dan sebagainya) – Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, ms 2541.
(iv) Kata ‘tunak’: (1) tidak berhenti-henti melakukan sesuatu (kerja dan sebgainya); (2) tetap setia; patuh; taat - Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, ms 2915.
(v), (vi) dan (vii) “Permasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam” yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984.
(viii) Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-23 Tahun 2007 pada 23 Februari 2007.
[ Atas ]
|