Home Government Ministry & Department About Brunei Online News Important Contacts
Utama
Menu Utama
Galleri Gambar
Info Hari Kebangsaan
Kemudahan Laman
Sitemap
Biskita Pengunjung Ke

 

 

 

Huraian Tema

Tema Hari Kebangsaan Tahun 2009

"KEDEWASAAN BERNEGARA" (i)

"Dalam usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan.  Di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan. "

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-23 Tahun 2007.

Tempoh suku abad negara mencapai taraf sebuah negara merdeka lagi berdaulat telah ditandai dengan pembangunan yang pesat dalam segala bidang kehidupan. Kepesatan pembangunan itu terlaksana atas rahmat Allah Subhanahu Wataala yang mengurniakan nikmat keselamatan, kemakmuran, dan ketenteraman kepada negara ini, dan taufik serta hidayah-Nya kepada para pemimpin yang memikul umanah mentadbir negara pada lunas-lunas yang diredai-Nya. Dalam tempoh suku abad itu tidak syak lagi telah mendewasakan warga negaa "untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan" dan meningkatkan Weltanschauung (ii) mereka dalam "pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan (kukuh) wilayah".(iii)

Salah satu ciri kedewasaan adalah sikap rendah hati (iv) seperti kesediaan mengakui kelemahan sendiri, dan bijak pula melakukan pembaikan ke atas kelemahan itu. Seorang yang dewasa tidak akan bertepuk paha (v) atas musibah atau kecelakaan kita. Kedewasaan menuntut toleransi atau tasammuh ( berbaik sangka) sama ada toleransi berjiran tetangga dalam lingkungan komuniti negara sendiri maupun toleransi supranasional. (vi)

"Kedewasaan Bernegara" sebagai tema menyambut tempoh suku abad negara merdeka lagi berdaulat adalah tepat selaras dengan "kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran kehidupan". Tema "Kedewasaan Bernegara" yang berpaksi kepada institusi-institusi kehidupan  sebuah "Negara Melayu Islam Beraja" (vii) dapat menjana sinergi semangat kerja keras dan komitmen semua warga negara dalam "tunggak utama negara" (viii) demi menjamin kesinambungan negara di tengah-tengah gelombang globalisasi yang semakin mencabar.  "Kedewasaan" warga negara - berfikir, bertindak, membuat keputusan - perlu ditingkatkan demi memastikan cabaran-cabaran kehidupan masa hadapan dapat menyumbang kepada - bukan memudaratkan - kesejahteraan bangsa dan negara. Kedewasaan berfikir, misalnya, dapat memberi respons yang positif terhadap "Adakah sama orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan ?" (ix). Tentu tidak sama. Kalau begitu bertindaklah selaku warga bangsa dewasa yang taqwa melaksanakan pembinaan negara bangsa (x) menurut lunas-lunas petunjuk jalan kebaikan seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran : "Kitab itu (Al-Quran) tidak ada keraguan padanya, jadi petunjuk bagi orang-orang yang taqwa" (xi). Jika timbul perbalahan dalam urusan bernegara hendaklah merujuk kepada Allah dan rasul (xii) dan jangan sekali-kali memutuskan silaturrahim. (xiii)

Tema "Kedewasaan Bernegara" membuka dua alur pemikiran dalam proses pembangunan negara bangsa.  Pertama, mengimbas kembali jejak-jejak pembangunan negara dalam tempoh suku abad negara merdeka lagi berdaulat, dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada kekuatan dan kelemahannya. Kedua, melihat jauh ke hadapan ------ setengah abad negara merdeka lagi berdaulat  ------ dengan berbekalkan perancangan untuk meningkatkan "Kedewasaan Bernegara" bagi melahirkan negara bangsa cemerlang yang diredai oleh Allah Subhanahu Wataala.

"(Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun."

-Surah As Sabak, Ayat 15            

 


(i) Bernegara; negara :

(a)      Masyarakat atau kelompok  sosial yang memiliki wilayah tertentu yang mempunyai sistem pemerintahan politik dan kedaulatannya sendiri untuk menentukan arah tujuan kebangsaannya.

(b)       Wilayah yang mempunyai sempadan geografi dan politik yang terletak di bawah kekuasaan kerajaan (pemerintah) :~ Brunei Darussalam

(c)       Organisasi dalam sebuah wilayah yang mempunyai kekuasaan tertinggi yang sah dan ditaati oleh rakyat; pemerintah; kerajaan: Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 1867.

(ii)  Pandangan menyeluruh, terutama bagi seseorang individu terhadap manusia dan alam sejagat : pandangan dunia : Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 3030

(iii)  Titah Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, 1 Januari 1984

(iv)  Tidak menyombong diri : Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, ms 2257

(v)  Menampar-nampar paha (sebagai tanda gembira dan sebagainya) : Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 2802. Ungkapan ini ada persamaan makna dengan kata Jerman "Schadenfreude" : "Delight at the misfortune of other person", Webster's Dictionary of the English Language 1989.

(vi)   Sifat kegiatan atau organisasi yang sasarannya melebihi jangkauan kepentingan yang dibatasi oleh sempadan politik dan geografi : Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 2632.

(vii)  Titah Kemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam

(viii)  Ada empat "tunggak utama negara" - Perkhidmatan Awam, Swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan Orang Ramai : Titah Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-23 Tahun 2007.

(ix)    Surah Az-Zumar, ayat 9, Tafsir Quran Karim oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus.

(x)     Negara bangsa - negara berdaulat  yang didiami oleh satu bangsa : Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003, m.s. 1867

(xi)     Surah Al-Baqarah, ayat 2, Tafsir Quran Karim oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus.

(xii)   "Kalau kamu berbantah-bantah tentang sesuatu (perkara), hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan rasul. jika kamu beriman kepada Allah dan hari yang kemudian." - Surah An-Nissak, ayat 59, Tafsir Quran Karim oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus.

(xiii)    "Bertaqwalah kepada Allah yang nama-Nya sering diucap sesama kamu untuk memohon kepada-Nya dan peliharalah hubungan silaturrahim (jangan sampai terputus) - Surah An-Nissak, ayat 1, Al-Muhtamir Tafsir Al-Quran.

 

[ Atas ]

Home Government Ministry & Department About Brunei Online News Important Contacts
 
2008 © Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hak Cipta Terpelihara.