Sambutan Bulan Bahasa diadakan pada setiap bulan Julai bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961 – 2011) pada hari Sabtu, 19 Syawal 1432/17 September 2011 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas:
“Beta juga dengan ini sukacita mengumumkan pengisytiharan bulan Julai sebagai Bulan Bahasa. Ia dapat dilihat sebagai harapan supaya rakyat memiliki sikap dan semangat positif untuk menjadikan satu bangsa yang bermaruah, yang mendaulatkan bahasanya sendiri.”
Sambutan Bulan Bahasa mula diadakan pada tahun 2012 sebagai usaha untuk menanamkan sikap positif masyarakat untuk memelihara, memperkasa, dan mendaulatkan bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu dan kebudayaan Melayu yang berobjektif untuk:
- Menjunjung titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan bahasa Melayu;
- Memasyarakatkan bahasa Melayu melalui pelbagai aktiviti dan kegiatan dengan keikutsertaan orang ramai dalam usaha menggema dan menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa ke seluruh negara;
- Melahirkan individu yang mempunyai kemahiran pembangunan kapasiti melalui aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan; dan
- Menjalin kerjasama dengan pelbagai jabatan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan swasta sebagai usaha menerapkan pendekatan senegera (whole of nation approach), pendekataan menyeluruh kerajaan (whole of government approach) dan pendekatan seluruh masyarakat (whole of society approach).
