Pesta Buku Brunei pertama kali dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1989 sempena 30 Tahun Bahasa Melayu dalam Perlembagaan. Mulai tahun 2000, ia mula dianjurkan secara tahunan sebagai salah satu acara pengisian bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Manakala mulai tahun 2021, penganjuran Pesta Buku Brunei disempenakan dengan Sambutan Bulan Bahasa. Penganjuran Pesta Buku Brunei merupakan salah satu usaha teras Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyumbang kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, iaitu melalui pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dan peningkatan daya apresiasi masyarakat terhadap buku.