Mekanisme Pelaksanaan
Kementerian dan Jabatan Utama
Kementerian utama yang bertanggungjawab bagi perkembangan belia di Negara Brunei Darussalam ialah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kementerian ini adalah bertanggungjawab bagi perkembangan dasar belia, manakala perhubungan dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan pentadbiran program dan kegiatan dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan. Kementerian yang utama juga akan menyediakan sebuah Akta Belia untuk melengkapi Dasar Belia Negara.
[ Atas ]
Mekanisme Penyelarasan
Sebuah Majlis Penyelarasan Dasar Belia yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan dibentuk untuk memastikan penyelarasan dasar dalam hal ehwal kebeliaan. Keahliannya termasuklah pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan semua Kementerian dan Jabatan yang mempunyai dasar dan program yang melibatkan belia, Majlis Belia Brunei dan juga wakil-wakil dari pertubuhan-pertubuhan belia.
Dasar dan program kebeliaan di Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan yang lain hendaklah diselaras dan dihubungkan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi tujuan memaksimakan penggunaan sumber di samping untuk meminimakan perbezaan di kalangan kumpulan sasaran itu sendiri. Pengurusan itu termasuk:
Kraftangan: Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei adalah diawasi oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari pelbagai Kementerian dan Jabatan. Selain daripada itu, kraftangan juga dihasilkan oleh orang-orang hilang upaya, tunakdaksa dan pesara di bawah kelolaan Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat, Kementerian Kebudayan, Belia dan Sukan, dan juga beberapa buah kampung di bawah kelolaan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pejabat Penjara dalam bentuk industri kotej dan beberapa industri kotej bebas kepunyaan persendirian.
Program Pembangunan Belia: Sebuah Jawatankuasa Penasihat yang dipengerusikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan dibentuk bagi program ini yang terdiri daripada wakil-wakil majikan sektor swasta, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Buruh, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, dan Kementerian Pendidikan.
Outward Bound Brunei Darussalam: Terletak di Daerah Temburong dan dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pusat ini menyediakan kursus latihan bagi pembangunan belia melalui kegiatankegiatan berasaskan pembelajaran melalui pengalaman.
Program Antarabangsa: Program-Program belia yang mempunyai fokus antarabangsa kadangkala dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama erat Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Program dan Kegiatan yang Melibatkan Pertubuhan Belia: lni dirancang dan dilaksanakan dengan bantuan dan koordinasi pertubuhan-pertubuhan belia.
[ Atas ]
Mekanisme Pentadbiran
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan adalah bertanggungjawab bagi perkembangan Dasar Belia Negara dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan. Pentadbiran program dan kegiatan adalah dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan pejabat-pejabatnya di setiap daerah. Di samping itu, Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama institusi yang lain seperti pertubuhan-pertubuhan belia dan Jabatan-Jabatan Kerajaan berkaitan, serta dengan koordinasi badan-badan antarabangsa seperti Program Belia Komanwel, Jawatankuasa Kecil ASEAN Mengenai Belia dan lain-lain agensi serantau dan antarabangsa adalah juga bertanggungjawab bagi program-program kegiatan peringkat antarabangsa, serantau dan dua hala.
[ Atas ]
Belanjawan
Perbelanjaan bagi program dan kegiatan belia di Negara Brunei Darussalam adalah dari belanjawan Kerajaan. Walaubagaimanapun, beberapa pertubuhan belia membiayai program dan kegiatan mereka melalui sumber kewangan sendiri.
[ Atas ]
Perkembangan Latihan dan Profesional
Program latihan kepimpinan belia merupakan objektif utama bagi Dasar Belia Negara (seperti yang diterangkan dalam Bahagian C/D). Kursus latihan dan perkembangan profesional disediakan bagi pemimpin-pemimpin pertubuhan belia dan pegawai-pegawai yang menangani Program Belia dari KementerianKementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan. Kursus-Kursus ini mengandungi berbagai-bagai bidang.
[ Atas ]
Konsultasi / Penyelarasan
Selain daripada koordinasi dengan Kementerian-Kementerian, Jabatan-Jabatan dan pihak-pihak yang berkenaan, mesyuarat konsultasi diadakan di peringkat daerah dengan pertubuhan-pertubuhan belia dan pemimpin-pemimpin kampung dan daerah serta pegawai-pegawai secara tetap. Konsultasi telah diadakan, dan akan terus diadakan, apabila kegiatan dan program baru dirancangkan.
Ibu bapa dan keluarga akan dibawa berunding jika penglibatan mereka diperlukan bagi kejayaan sebarang program atau kegiatan.
[ Atas ]
Kajian Semula
Dasar Belia Negara akan dikaji semula dalam tempoh tidak melebihi 4 tahun. Proses kajian semula akan melibatkan lain-lain pihak yang berkepentingan.
[ Atas ]
|