Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

KABSBM Peluang Kongsi Pengetahuan, Ilmu

Berita dan Foto : Aimi Sani

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Mac. - Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sempena Bulan Bahasa (KABSBM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam, melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook, DBP Brunei dan aplikasi Zoom, di sini.

Pembentangan makalah bagi Siri KABSBM, dibentangkan oleh Pemakalah dari Malaysia, iaitu Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mawar Safei.

Manakala, Pengerusi Kongres kali ini, Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP Brunei Darussalam, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak.

Tajuk pembentangan kongres kali ini, bertajuk 'Membaca Cerpen H. Mar dan Satu Penziarahan Semula'.

Perbincangan menumpukan pada karya penulisan cerpen H.Mar, dalam buku Hidup Yang Mati dan Exotis, dengan membuat penziarahan semula lima rujukan bacaan lain, yang menyebut penulisan H.Mar yang luar biasa, dan terlihat ada unsur pembaharuan yang menyimpang daripada tradisi juga mempunyai gaya aliran ekspresionisme dan modenisme.

Seramai 180 pelajar menghadiri KABSBM secara maya, terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, juga para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam juga luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama, 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri, mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022, dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Kongres ini, antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa juga tanah air, dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman juga tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 pembentang Siri KABSBM anjuran DBP Brunei Darussalam.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 3/31/2022 2:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 3/31/2022 2:37 PM by Nisbah Binti Hj Merusin