Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Feminisme Dalam Perkembangan Kesusasteraan Melayu

Berita dan Foto : Aimi Sani

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 April. - Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa diteruskan lagi hari ini secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom.

Siri Pembentangan Ke-9 ini menampilkan pemakalah ucaptama dari Negara Brunei Darussalam, mantan Pengarah DBP iaitu Dayang Haji Aminah binti Haji Momin. Manakala Pengerusi kongres pula ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Sariani binti Haji Ishak.

Kongres kali ini mengupas aspek sastera dengan tajuk 'Feminisme dalam Perkembangan Kesusasteraan Melayu'.

Antara yang dihuraikan dalam pembentangan kali ini ialah fokus utama imej wanita serta watak-watak wanita dalam novel-novel yang ditulis dan digambarkan oleh penulis lelaki Melayu dan beragama Islam.

Feminisme dalam kesusasteraan juga mempunyai hubungan dengan matlamat pergerakan wanita yang cuba untuk membebaskan diri daripada penulisan kaum lelaki yang sering dianggap tidak adil dalam sebuah penulisan.

Selain itu, pembentangan ini juga mengupas kedudukan wanita yang dilihat dari perspektif agama Islam yang memandang tinggi martabat kaum wanita serta sudut pandang gerakan-gerakan feminisme di beberapa buah negara yang memperjuangkan kesetaraan hak sepenuhnya antara kaum lelaki dengan wanita.

Seramai 119 pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama 'Bahasa Jiwa Bangsa' ini turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

KABSBM dilaksanakan secara bersiri mulai 16 Mac hingga 22 Jun 2022 dengan pembentangan kertas kerja dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan Rabu.

Kongres ini juga antara lain berobjektif untuk menggabungkan pakar-pakar bahasa, sastera dan budaya di peringkat antarabangsa dan tanah air dalam upaya untuk berkongsi pengetahuan, ilmu, dan gagasan melalui dinamika pengetahuan, pengalaman dan tingkat kepakaran tertentu.

Seramai 23 pembentang makalah yang terdiri daripada tiga makalah ucaptama dan 20 makalah iringan dijadualkan untuk membentangkan kertas kerja masing-masing sepanjang KABSBM.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 4/26/2022 9:21 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 4/26/2022 9:21 AM by Nisbah Binti Hj Merusin