Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Bahasa Melayu: Identiti Jati Diri Tetap Dijaga, Dipelihara

Oleh: Haniza Abdul Latif / Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Julai. - Tema Bulan Bahasa tahun ini, iaitu Memperkasakan Bahasa Melayu, mengandungi perutusan yang menuntut kita menggalas amanah dengan penuh kesedaran bahawa bahasa Melayu merupakan jati diri bangsa, bangsa Brunei, yang wajar diperkasakan oleh setiap peringkat masyarakat di negara ini.

Justeru, untuk merealisasikan hasrat yang murni ini, ia memerlukan sinergi semua pihak baik dalam kalangan kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun dalam kalangan sektor swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan orang perseorangan di Negara Brunei Darussalam (NBD) ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad pada Majlis Sambutan Bulan Bahasa yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, di sini.

Semua pihak menurut Yang Berhormat, memainkan peranan yang amat mustahak ke arah menyedari kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita senegara, demi mengangkatnya ke martabat yang selayaknya.

"Dalam kitani mendepani era Revolusi Industri 4.0, kita hendaklah lebih kreatif dalam memperkasakan bahasa Melayu. Dalam Resolusi Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu yang diadakan baru-baru ini juga ada menyatakan bahawa bahasa Melayu bukanlah penghalang untuk memperoleh ilmu yang berkualiti termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Marilah kita meningkatkan usaha melalui pendekatan senegara untuk sama-sama giat memartabatkannya terutama dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu," ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya berkata, kerancakan Revolusi Industri dan bahana COVID-19 banyak mengubah gaya hidup kita dengan norma baharu, dan ini sudah setentunya tidak bermakna kita juga perlu mengubah kebudayaan kita, apalagi kegunaan bahasa kita. Ini bukan menjadi batu penghalang bagi masyarakat kita belajar bahasa asing kerana kita juga mengakui bahawa ilmu itu banyak bersumberkan bahasa asing.

Tambah Yang Berhormat, tinggal sahaja kebijakan kita untuk memanfaatkan ilmu dan kecanggihan teknologi di samping menyaring pelbagai budaya yang bersesuaian dengan falsafah negara, iaitu falsafah Melayu Islam Beraja yang semua ini bertujuan agar identiti dan jati diri kita tetap terjaga dan terpelihara.

Oleh yang demikian tekan Yang Berhormat, di sinilah pentingnya pelbagai langkah bagi bahasa Melayu untuk terus dimartabatkan dan diperkasakan dengan penganjuran pelbagai inisiatif dan aktiviti secara pendekatan senegara.

Pada masa yang sama menurut Yang Berhormat, untuk terus memperkasakan bahasa Melayu, marilah kita bersama-sama melihat ke hadapan dengan mengukuhkan dasar yang telah dimantapkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, surat-surat keliling, perundangan, dan program pemerkasaan bahasa Melayu agar bahasa rasmi ini terus diguna pakai dan diamalkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di NBD ia kekal sebagai sebuah bahasa dunia yang berilmu tinggi.

"Tuntasnya, dalam mendukung hasrat ini, kumpulan penutur bahasa Melayu perlu terus memainkan peranan utama untuk terus mengembangkan bahasa Melayu dalam landasan masing-masing dengan lebih terancang, menggunakan daya ungkap yang tinggi dan bermutu.

"Dengan yang demikian, marilah kita sama-sama berganding bahu menggalas usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

"Inilah Amanah negara kepada kitani semua sama ada dalam sektor-sektor kerajaan atau sektor awam yang perlu kita tanai dengan sebaiknya, sebagai anak jati Brunei yang cinta kepada bahasa ibundanya dan tanah airnya," ujar Yang Berhormat.

Dipetik daripada Pelita Brunei

Attachments
Created at 7/7/2022 10:46 AM by Nisbah Binti Hj Merusin
Last modified at 7/7/2022 10:46 AM by Nisbah Binti Hj Merusin