Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Rabu, 9 November. - Penerbitan
Buku Koleksi Irama dan Lagu O Kanak-Kanak pada tahun 2021 yang
menghimpunkan 56 buah lagu kanak-kanak tradisi telah memangkin kepada
kesedaran untuk terus menghidupkan semula warisan milik negara ini.
Kesedaran
ini sememangnya tidak lepas daripada melihat akan kepentingan lagu
kanak-kanak tradisi terhadap pembentukan keperibadian yang luhur dalam
kalangan masyarakat. Pendidikan moral sebaiknya ditanamkan sejak kecil
lagi untuk membentuk bangsa berkeperibadian yang baik.
Perkara
tersebut ditegaskan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran
Haji Mahmud pada Majlis Nyanyian Kanak-Kanak Tradisi Brunei : Sembang
Kreatif berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ,
Berakas hari ini.
Menurut
Pengiran Mohammad Amirrizal, salah satu cara efektif dalam mendidik dan
mengajarkan nilai moral serta murni terhadap anak adalah menerusi lagu
kanak-kanak tradisi.
“Lagu
kanak-kanak tradisi dipercayai dapat dijadikan sebagai salah satu
medium untuk memudahkan anak-anak menyerap nilai murni dan pesan moral
yang terdapat dalam lagu kerana lagu kanak-kanak tradisi itu sendiri
memiliki makna yang amat luhur.
“InsyaaAllah,
pada hari ini kita berpeluang mempelajari dan memahami makna lagu
kanak-kanak yang sarat akan pesan moral kehidupan ini melalui
perbincangan mengenai falsafah dan edukasi yang akan disampaikan
sebentar lagi," ujarnya.
Pengiran
Mohammad Amirrizal menekankan peri pentingnya fungsi lagu kanak-kanak
ini sewajarnya perlu diangkat dalam dunia pendidikan.
Pendidikan
itu, jelasnya, tidak hanya sekadar sebagai sarana untuk memberikan ilmu
pengetahuan sahaja tetapi juga dapat digunakan sebagai wasilah untuk
menanamkan budaya serta membentuk akhlak, sifat dan sosialisasi.
“Tambahan
lagi, perkembangan teknologi yang semakin pesat juga telah memberikan
kemudahan dan ruang yang luas dalam memvariasikan penyebaran lagu
kanak-kanak dengan lebih efisien dan pantas," katanya lagi.
Terdahulu,
Pengiran Mohammad Amirrizal menyatakan pelaksanaan Festival Sastera dan
Seni Budaya Melayu Brunei dipergiatkan lagi dengan mengikhtiarkan
penyebarluasan salah satu khazanah kita, iaitu lagu kanak-kanak tradisi.
Lagu
kanak-kanak tradisi Brunei tidak dinafikan turut menyumbang kepada
pemartabatan bahasa Melayu di negara ini yang secara tidak langsung juga
mampu mengangkat dan menjulang lagi jati diri bangsa Melayu.
Jelasnya,
upaya DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu tanpa penat lelah ini
sewajarnya kita sokong dan kukuhkan dengan sama-sama memberikan dukungan
yang padu baik dari segi tenaga mahupun pemikiran agar usaha ini secara
berterusan dipertingkatkan.
“Apa
yang pasti, kerjasama sinergi dari pelbagai pihak melalui Pendekatan
Senegara (Whole of Nation Approach) juga akan menghasilkan impak yang
maksimal terhadap kelangsungan penggunaan bahasa Melayu sebagai jentera
pembangunan tamadun bangsa," tambahnya lagi.
Sementara
itu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam
alu-aluannya antara lain menyatakan, DBP secara berterusan
mendayaupayakan pemerkasaan bahasa Melayu melalui pelestarian dan
penyebarluasan seni budaya di negara ini.
Salah
satu usaha pelestarian adalah apabila DBP menerusi Bahagian
Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan berjaya mengumpulkan lagu
kanak-kanak tradisi Brunei dan seterusnya diterbitkan dalam Buku Koleksi
Irama dan Lagu O Kanak-Kanak pada bulan September 2021.
Upaya
melestarikan dan menyebarluaskan seni lagu kanak-kanak ini tidak
terhenti kepada pendokumentasian sahaja, tetapi terus dikukuhkan lagi
usaha ini dengan menyebarluaskan seni lagu kanak-kanak agar lebih
dikenali dandihayati oleh semua kalangan masyarakat bukan sahaja di
peringkat negara malah peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Kegiatan
Nyanyian Kanak Kanak Tradisi Brunei diangkat sebagai kegiatan yang
disuguhkan untuk membarigakan secara meluas lagi lagu kanak-kanak
tradisi Brunei melalui pelaksanaan Sembang Kreatif, Peraduan Mencipta
Video Animasi Lagu Kanak-Kanak, Pertandingan Sketsa, Kuiz dan
Pertandingan Kugiran," ujarnya.
“Kita
mengetahui bahawa lagu kanak-kanak tradisi dicipta tidak hanya sekadar
berbentuk hiburan semata-mata tetapi seni dan lirik lagu yang dicipta
mempunyai nilai pengajaran dan moral yang tinggi di dalamnya.
“Inisiatif
mengadakan Nyanyian Kanak-Kanak Tradisi Brunei : Sembang Kreatif pada
hari ini adalah amat bertepatan untuk mendidik dan memberikan kefahaman
mengenai seni lagu kanak-kanak tradisi Brunei secara terperinci kepada
masyarakat.
“Dengan
mengangkat isi perbincangan mengenai falsafah dan edukasi lagu
kanak-kanak tradisi Brunei yang akan disampaikan oleh Dato Paduka Haji
Mahmud bin Haji Bakyr, merupakan salah seorang pencipta lagu kanak-kanak
tradisi ini akan dapat mencerahkan minda masyarakat bagi memangkin
masyarakat untuk turut sama berperanan dalam mengembangluaskan seni lagu
kanak-kanak agar khazanah bangsa ini akan tetap terus diwarisi dan
dipelihara," katanya lagi.
Sembang
Kreatif dilaksanakan dalam konsep bicara yang disampaikan oleh
Pembicara, Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Bakyr (Imbi), mantan
Pengarah DBP dengan membincangkan mengenai falsafah dan edukasi lagu
kanak-kanak tradisi Brunei.
Manakala
Pensyarah Universiti Brunei Darussalam, Mohd. Zefri Ariff bin Mohd.
Zain Ariff (Zefri Ariff Brunei) juga Penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara 2011 selaku moderator pada majlis berkenaan.
Antara
objektif Sembang Kreatif ini dilaksanakan adalah untuk menyebarluaskan
ilmu mengenai lagu kanak-kanak tradisi Brunei agar khazanah ini tetap
relevan dan dikenali oleh masyarakat.
Selain
itu, memberikan nilai dan manfaat ilmu lagu kanak-kanak tradisi Brunei
kepada masyarakat; serta mencerahkan minda masyarakat untuk mendalami
dan memahami kepentingan seni lagu kanak-kanak tradisi Brunei.
Dipetik daripada Pelita Brunei