Berita
dan Foto : Marlinawaty Hussin
BERAKAS,
Ahad, 15 November. - Angkatan Sasterawan dan Sasterawani
(ASTERAWANI) memperlihatkan keutuhannya sebagai sebuah persatuan yang
memperjuangkan kegiatan kesusasteraan dan persuratan Melayu sejak awal
penubuhannya lebih 50 tahun lalu hingga ke hari ini.
Sebagai
persatuan penulis tertua di negara ini, ASTERAWANI tetap bergiat aktif
mengungkayahkan pelbagai kegiatan dan projek yang memberi impak pada
kemajuan kesusasteraan dan persuratan Melayu yang dilaksanakan, bukan
sahaja di dalam negara, malahan juga aktif bekerjasama dengan
persatuan-persatuan penulis seni dan budaya di luar negara.
Pemangku
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul
Wahab menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapannya selaku tetamu
kehormat, pada Mesyuarat Agung Ke-44 ASTERAWANI, di Balai Sarmayuda,
DBP, di sini.
Menurut beliau, ASTERAWANI mempunyai
platform yang cukup jelas, strategik dan terarah dalam sama-sama
membantu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga DBP menanai
tanggungjawab untuk menggerak aktifkan bidang penulisan, kegiatan
kesusasteraan dan persuratan Melayu di negara ini.
Beliau
menambah, jalinan kerjasama strategik ini, akan memantapkan lagi segala
usaha dalam menangani hal ehwal kesusasteraan dan persuratan Melayu di
Brunei Darussalam.
"Lebih-lebih lagi, pada masa ini DBP, telah
mengungkayahkan Program Penulis Muda yang memperlihatkan perkembangan
positif, dalam dunia penulisan kreatif dan penerbitan.
"Kesan
daripada program ini, telah dibuktikan dengan penyediaan ruang Suara
Penulis Muda dalam Majalah Bahana yang diisi oleh peserta program,"
ujarnya.
Sebagai usaha DBP ke arah pemantapan program itu, jelas
beliau, DBP berhasrat untuk menyediakan satu platform, iaitu kelas
bimbingan secara berterusan, untuk melahirkan penulis-penulis pelapis
yang mampu menghasilkan karya yang bermutu dan berkualiti.
"Usaha
ini amatlah penting, dan begitu besar, dan saya percaya, dengan adanya
kerjasama bersama persatuan-persatuan penulis di negara ini, termasuklah
ASTERAWANI, perancangan mewujudkan kelas bimbingan ini akan dapat
direalisasikan, terutama dalam penyediaan pakar dan pembimbing,"
katanya.
Beliau berharap, golongan remaja dan belia negara ini akan
lebih giat mengikuti persatuan penulis tanah air kerana mereka akan
banyak membantu mengukuhkan strategi-strategi persatuan penulis dalam
pembinaan negara bangsa.
Sementara itu, Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor
Madya Dr. Ampuan Haji Brahim bin Haji Tengah berkata, ASTERAWANI akan
terus hidup dengan lebih berjaya jika persatuan berkenaan berhasil
mencari ahli-ahli baharu yang lebih kreatif juga inovatif sebagai
pelapis dan penerus bagi perjuangan persatuan itu, di masa akan datang.
Hal
ini, beliau menambah, merupakan salah satu misi dan cabaran bagi Ahli
Jawatankuasa Tertinggi yang terpilih dalam mencari muka-muka baharu.
Terang
beliau lagi, bagaimanapun kita tidak seharusnya berputus asa, di
samping menjalankan tugas yang diamanahkan untuk mengerakkan ASTERAWANI,
kita akan terus berusaha ke arah itu.
Pada majlis tersebut,
Pemangku Pengarah DBP turut merasmikan mesyuarat agung berkenaan.
Antara
agenda yang dibentangkan semasa mesyuarat agung tersebut adalah
Laporan-laporan oleh Setiausaha 1 dan Bendahari 1; Pembubaran Ahli
Jawatankuasa Tadbir Tahun 2017 - 2020; dan Perlantikan Jawatankuasa
ASTERAWANI 2020 - 2022.
Dipetik daripada Pelita Brunei