Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin
BERAKAS, Khamis, 25 Mac. - Karya
tempatan yang bernilai global amat diperlukan sebagai sumber bacaan dan
rujukan yang terbaik kepada masyarakat.
Oleh itu, upaya Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menyediakan wadah Bengkel Penulisan
Kreatif dan seumpamanya perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para
peserta bengkel, terutama penulis muda.
Setiausaha Tetap
(Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku tetamu kehormat
majlis berkata demikian pada Majlis Penutup Bengkel Penulisan Kreatif,
yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, di sini.
Beliau
menjelaskan bahawa para peserta harus berjiwa dan berminda besar serta
kreatif dalam menghasilkan penulisan setaraf dengan penulis besar luar
yang mempunyai nilai pasaran antarabangsa.
"Bidang penulisan memberi
sumbangan penting dalam pembangunan tamadun bangsa. Ilmu atau idea
fikir penulis yang diabadikan dalam bentuk tulisan menjadi teras
terhadap pembentukan dan pembinaan jati diri bangsa," terang beliau.
Menurut
beliau lagi, pelbagai inisiatif telah diungkayahkan DBP pada setiap
tahun dalam usaha meningkatkan mutu penulisan kreatif penulis tanah air.
"Usaha
melahirkan penulis kreatif terutama penulis muda dipergiat melalui
penganjuran program penulis muda, peraduan penulisan, bengkel dan
penyediaan platform bagi menyumbang karya penulisan dalam majalah dan
jurnal," ujar beliau.
Pada majlis tersebut, beliau melancarkan
dua buah buku terbaharu terbitan DBP.
Buku-buku tersebut berjudul 'Selam Skuba
ke Lautan Hatiku!' karya Dayang Hajah Nurhamizah binti Haji Samihon; dan
'Ditipu Jin Penunggu Pokok Pisang' karya Awang Mohd. Adi Zaky bin Haji
Matasim.
Buku ini bukan sekadar tambahan koleksi buku DBP, tetapi
adalah sumber bacaan yang bermanfaat dan berguna kepada masyarakat di
negara ini.
Tetamu kehormat majlis seterusnya
menyampaikan sijil dan cenderamata kepada para pembimbing serta para
peserta bengkel.
Seramai 60 peserta mengikuti Bengkel
Penulisan Kreatif yang terdiri daripada Bengkel Penulisan Cerita Folklor
Ke-ll dan Bengkel Penulisan Novelet, iaitu 30 peserta bagi setiap
bengkel.
Bengkel anjuran DBP ini diadakan selama tiga hari yang bermula
23 Mac yang lalu.
Bengkel berkenaan diadakan adalah untuk
memberi ruang kepada para peserta untuk memahami dan mendalami ilmu
penulisan folklor dan novelet, selain memberi pendedahan kepada
penulisan karya kreatif serta folklor yang merupakan warisan budaya dan
perlu dilestarikan, sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.
Dipetik daripada Pelita Brunei